PUTRAJAYA, Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Pas Residen serta ejen haram warga Bangladesh membabitkan beberapa syarikat yang dimiliki oleh beberapa individu didakwa berpangkat ‘Datuk’.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata kegiatan sindiket itu terbongkar dalam Ops Serkap yang dijalankan selama 48 jam pada Selasa dan Rabu di sekitar Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan Lembah Klang.

Setakat ini, katanya seramai 26 individu ditahan dalam operasi tersebut merangkumi 15 lelaki warga asing, tiga wanita warga asing dan lapan warga tempatan. “Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk siasatan dan tindakan susulan, manakala tahanan warga Malaysia direman selama empat hari untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, di sini pada khamis.

Beliau berkata sindiket itu mula terbongkar melalui penahanan lima lelaki warga Bangladesh, dua wanita China dan seorang wanita Indonesia.

Mustafar berkata tangkapan berkenaan kemudiannya membawa kepada penahanan enam lelaki tempatan yang merupakan ejen atau orang tengah dan juga dalang utama mendapatkan PLKS palsu, Pas Residen, Pas Lawatan Sosial dan lain-lain dokumen.

Katanya berdasarkan siasatan awal dan pengakuan warganegara asing yang ditahan, mereka perlu membayar sebanyak RM25,000 setiap seorang bagi mendapatkan Pas Residen, dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM18,000 dan baki RM7,000 selepas pelekat diperoleh.

“Pengakuan daripada seorang ejen yang ditahan, mendapati RM18,000 hingga RM50,000 dikenakan sebagai bayaran untuk mendapatkan pelekat Pas Residen tetapi sehingga kini mereka masih gagal mendapatkan pelekat untuk warganegara asing yang telah membuat bayaran,” katanya.

Tambahnya sebuah kenderaan milik ejen yang dirampas turut mengandungi sejumlah pasport warga asing dan beberapa dokumen berkaitan imigresen serta dokumen palsu yang digunakan untuk mendaftarkan syarikat bagi proses penggajian semula.

“Beberapa pasport telah dikoyakkan di muka surat tertentu yang mempunyai pelekat pas dan juga dapat dikesan terdapat beberapa cop atau pengesahan keluar masuk Jabatan Imigresen yang cuba dipadamkan.

Mustafar berkata susulan penangkapan ejen terbabit, dua lelaki tempatan yang dipercayai menjadi dalang dalam aktiviti pemalsuan itu turut ditahan semalam.

“Beberapa syarikat diserbu oleh Unit Operasi Khas pada pagi semalam dan hasil serbuan mendapati beberapa pemilik syarikat warganegara asing menggunakan warga Malaysia terutamanya ibu tunggal untuk mendapatkan lesen syarikat,”katanya..

Pemilik syarikat ini menggunakan mereka kerana agak mudah untuk mendapatkan lesen perniagaan dan menggunakan syarikat tersebut untuk mendaftarkan dan memproses permohonan-permohonan penggajian semula dengan menggunakan dokumen-dokumen serta sijil-sijil palsu, katanya.

Menurut Mustafar, seramai 10 lelaki warga asing turut ditahan bagi membantu siasatan, selain merampas merampas beberapa buah komputer yang mempunyai dokumen, borang-borang berkaitan dengan Jabatan Imigresen dan kepala surat yang disyaki digunakan untuk tujuan pemalsuan dokumen.

Katanya siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *