Sevilla bangkit pada babak kedua untuk menundukkan Livepool 3-1 pada aksi final Liga Europa di Basel, awal pagi Khamis.

Kemenangan itu membolehkan Sevilla menjulang trofi ketiga kejohanan itu pada musim ini.

Malah Sevilla menjadi pasukan pertama untuk memenangi kejohanan itu buat kali ketiga berturut-turut selepas Bayern Munich antara tahun 1974 dan 1976.

Anak buah Jurgen Klopp dilihat berpotensi memenangi kejohanan itu apabila mendahului seawal minit ke-35 menerusi jaringan Daniel Sturridge.

Namun kedudukan itu hanya bertahan sehingga tamat pertama sebelum pemain Sevilla bangkit menguasai perlawanan di separuh masa kedua.

Kevin Gameiro menyamakan kedudukan pada minit ke-47 sebelum Coke mengukuhkan cengkaman Sevilla menerusi gol kedua minit ke-64.

Coke kemudiannya menambah gol kedua peribadinya pada perlawanan itu ketika perlawanan berbaki 10 minit.

Pertembungan di Basel itu sekali lagi menyaksikan kegagalan Liverpool memperoleh sebarang trofi musim ini selain turut tewas kepada Manchester City pada aksi final Piala Capital One.

Kapten Liverpool, James Milner mengakui pasukan itu tidak bermula dengan baik pada babak kedua dan gagal mempamerkan persembahan sebenar mereka.

“Kekalahan ini amat mengecewakan kami. Kami bermula baik pada babak pertama tetapi segalanya berubah di babak kedua. Kami memberi banyak peluang kepada pasukan lawan.

“Kekalahan ini memberi tamparan hebat kepada pasukan yang sepatutnya berpeluang cerah membawa pulang dua trofi selepas mara ke final tetapi kami gagal memanfaatkan peluang yang ada,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *