Seramai 131,841 penagih dadah dikesan dalam negara sejak Januari 2010 hingga Februari lepas, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata menurut statistik yang dikeluarkan Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), penagih lelaki adalah seramai 127,797, manakala 4,044 orang merupakan penagih dalam kalangan wanita.

Katanya penyalahgunaan dadah dalam kalangan individu berusia 20 hingga 39 tahun merekod bilangan tertinggi iaitu 93,044 orang, diikuti penagih berusia 40 tahun ke atas seramai 29,355 orang, manakala penagih berumur 19 tahun ke bawah seramai 8,732 orang.

“Dari tahun 1983 sehingga kini, dadah masih menjadi musuh nombor satu negara,” katanya pada persidangan Dewan Negara.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Koh Chin Han yang ingin tahu statistik penagih dadah mengikut umur dan jantina bagi tempoh 2010 sehingga kini serta langkah yang diambil untuk mengatasi penyalahgunaan dadah.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mendedahkan bahawa penagih dadah paling muda yang dikesan ialah berusia tujuh tahun.

“Mereka diberi dadah dalam gula-gula, diberi percuma kepada anak-anak. Apabila ketagihan mula membara dan merosakkan saraf minda mereka, maka mereka perlu wang untuk membeli (dadah) selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata meskipun terdapat lima akta digubal dalam usaha menghapuskan dadah dengan mengenakan hukuman yang keras termasuk mati mandatori, namun kes pengedaran dan penyalahgunaan dadah masih wujud di negara ini ekoran terdapat permintaan daripada penagih serta bekalan yang disediakan pengedar.

Sehubungan itu katanya kerajaan akan terus komited dalam usaha membasmi dadah dan menjadikan negara bebas daripada dadah selaras dengan pengisytiharan Tahun 2016 sebagai ‘Tahun Memerangi Dadah Secara Habis-habisan.’

Beliau berkata kementerian itu melalui AADK telah melaksanakan beberapa strategi untuk membanteras dadah sehingga ke akar umbi termasuk pencegahan, rawatan perubatan dan pemulihan serta penguatkuasaan.

Kepada soalan tambahan Koh mengenai usaha membanteras sindiket dadah dengan menangkap ‘king pin’ atau raja dadah, Ahmad Zahid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mempergiatkan usaha itu menerusi penubuhan Special Tactical Intelligence Narcotics Group (STING).

“Sejak STING ditubuhkan tahun lalu, kita merampas bahan-bahan dadah (bernilai) setengah bilion dan cekup beberapa king pin dan beberapa yang mengaku ahli kimia yang membuat makmal di kondominium dan bangunan mewah,” katanya.

Beliau berkata PDRM juga turut mempertingkatkan penguatkuasaan dengan memperluaskan jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa dalam berkongsi maklumat risikan dan kemahiran.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *