Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, menolak cadangan tidak mempertandingkan jawatan tertentu pada pemilihan parti akan datang.

Katanya, cadangan seperti itu tidak boleh lagi kedengaran dalam UMNO jika mahu kekal relevan dan kembali menambat hati rakyat.

Malah, tegasnya, kekangan itu turut menjadi antara punca Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi parti keramat Melayu itu tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau turut menyifatkan cadangan itu sebagai mengarut kerana dilihat memberi mesej yang salah kepada masyarakat mengenai hala tuju UMNO selepas PRU-14.

“Saya tak setuju kalau ada apa apa jawatan yang tidak dipertandingkan dalam pemilihan UMNO kali ini.

“Saya gembira jika ada pihak yang menyokong saya (untuk jawatan dalam parti) tetapi apa-apa jawatan untuk saya atau sesiapa pun dalam UMNO mesti dipertandingkan.

“Saya rasa usul tidak mempertandingkan jawatan ini antara sebab mengapa rakyat hilang kepercayaan pada kita, seolah-olah kita tak buka ruang demokrasi kepada ahli.

“Baik hentikan perkara mengarut ini,” katanya ketika ditemui di Menara Dato’ Onn di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan UMNO Melaka yang mahu jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden masing-masing diserah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy serta ketiga-tiga jawatan tidak dipertandingkan.

Penolakan Khairy terhadap cadangan itu bagaimanapun berbeza dengan ucapan dasarnya ketika perhimpunan agung Pemuda UMNO pada Disember tahun lalu, apabila berpendirian jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu.

Ditanya sama ada sudah tiba masanya bertanding jawatan Presiden, Khairy berkata, masih banyak masa untuk memikirkan mengenai jawatan yang akan dipertandingkan pada pemilihan UMNO kelak.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin, senada dengan Khairy apabila turut menolak cadangan untuk tidak mempertandingkan jawatan tertinggi dalam parti itu.

“UMNO perlu berubah kerana akar umbi, rakyat sudah berubah, jadi kenapa kita perlu hentikan sesiapa pun yang mahu bertanding bagi mana-mana jawatan.

“Sudah tiba masanya untuk UMNO berubah. Berilah ruang untuk sesiapa pun bertanding. Saya tak bersetuju dengan cadangan itu,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *