Share on Facebook

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua aset dan bantuan menghadapi gelombang kedua banjir, khususnya di Pantai Timur dalam keadaan baik serta bersiap siaga pada skala 10 sepenuhnya.

Timbalan Perdana Menteri berpendirian bantuan segera akan disalurkan melalui koordinasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di kawasan jajahan dan daerah yang terjejas ketika ini.

“Datuk Seri Shahidan Kassim (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) sekarang ini berada di dua negeri, Terengganu dan Kelantan untuk melakukan pemantauan terhadap pemindahan banjir oleh agensi diselaraskan NADMA.

“Kita telah menggerakkan aset di peringkat jajahan dan daerah untuk menentukan mangsa banjir dipindahkan mengikut tindakan mengikut amaran yang ditentukan Jabatan Meteorologi (MET Malaysia),” katanya selepas merasmikan penutup Program Internship Mahasiswa Turun Parlimen (MANTAP) VII di Parlimen, sebentar tadi.

Ahmad Zahid, berkata orang ramai perlu mematuhi amaran MetMalaysia yang mengeluarkan amaran awal dan terakhir, tiga hari sebelum banjir berlaku dan sebelum awan tebal berarak.

Katanya, amaran itu perlu dipatuhi kerana pengalaman di Kemaman dan menggunakan Model Kesiagaan Kemaman, menunjukkan mangsa boleh membuat persiapan lebih awal untuk berpindah dan memindahkan barang untuk mengelakkan kerosakan harta benda atau mengelakkan sebarang kehilangan nyawa.

“Saya faham ada yang menunggu air masuk ke rumah sehingga paras dada ataupun ke bumbung rumah baru mengikut ikut arahan untuk berpindah tetapi mungkin itu sudah terlewat.

“Tentunya dengan kaedah baru, kita beri jaminan pemindahan lebih cekap dan mudahkan agensi pemberi bantuan memindahkan mereka dan memberi kemudahan lain untuk kita mengelakkan kemudaratan dan bencana besar,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid menegaskan Mesyuarat koordinasi dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berhubungan bantuan banjir, pagi tadi dilaksanakan secara berstruktur.

Katanya, penyelarasan itu menyediakan senarai semakan dan pembahagian tugas kawasan kebertanggungjawaban kepada agensi terbabit.

“Kita telah memantau kawasan yang paras air tinggi dan meningkat dengan cepat. Kita tidak nafikan air naik cepat bukan kerana hujan saja tetapi air daripada hulu menyebabkan paras air naik mendadak, dan kita sudah meletakkan aset-aset untuk proses pemindahan di kawasan terjejas,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *