KUALA LUMPUR, Bakal jemaah haji kini boleh membuat semakan jadual penerbangan masing-masing menerusi aplikasi THiJARI 2.0 yang dilancarkan hari ini.

Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, perkhidmatan itu satu daripada penambahbaikan aplikasi THiJARI yang pertama kali dilancarkan pada 2014.

Selain semakan jadual penerbangan, beliau berkata pendeposit TH juga boleh mendapatkan nombor giliran secara dalam talian sebelum berurusan di kaunter cawangan TH berdekatan menerusi perkhidmatan MyQ TH, di bawah aplikasi yang sama.

“Aplikasi THiJARI 2.0 yang boleh dimuat turun menerusi Google Play dan App Store secara percuma akan memudahkan pendeposit kita yang melebihi sembilan juta membuat pelbagai urusan dengan TH hanya di hujung jari,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi itu dan Majlis Sambutan Aidilfitri TH di sini hari ini.

Selain itu, Abdul Azeez berkata aplikasi berkenaan turut membolehkan pendeposit menyemak status pendaftaran dan tawaran haji, mengemas kini akaun, pendaftaran dan semakan keahlian kelab TaHa, informasi berkaitan TH, direktori, berita terkini, promosi dan e-majalah.

Mengulas rancangan pembinaan kompleks penempatan untuk seluruh jemaah Malaysia di Makkah dan Madinah, Abdul Azeez berkata perkembangan terkini projek itu dijangka diumumkan selepas berakhir musim haji tahun ini.

“InsyaAllah, saya dan Datuk Seri Johan Abdullah (Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH ) akan meninjau tanah yang ditawarkan untuk kita membina sebuah kompleks penempatan untuk seluruh jemaah kita ,” katanya.

Beliau berkata penerbangan pertama jemaah haji ke Tanah Suci tahun ini dijadual pada 24 Julai, manakala penerbangan terakhir pada 24 Ogos, melibatkan 30, 200 jemaah Malaysia.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *