Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan amat terdesak mahukan kemenangan selepas dikecewakan Felda United sebelum ini.

Babak pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan cuba mencipta gerakan bagi mendapatkan peluang jaringan.

Begitupun, Selangor bolos pada minit ke-37 apabila pemain import T-Team, Makan Konate, bijak memanfaatkan peluang menewaskan Norazlan Razali bagi meletakkan tuan rumah di depan.

Bersambung babak kedua, Selangor cuba bangkit memberikan asakan kepada T-Team dalam usaha mendapatkan jaringan.

Peluang terbaik hadir menerusi Patrick Ronaldinho pada minit ke-54 tetapi percubaannya tersasar.

Rentetan peluang terus dimiliki Selangor, namun ketumpulan penyudah menyaksikan skuad Gergasi Merah hampa.

Nyata, jaringan tunggal Konate itu sudah memadai buat T-Team meraih tiga mata penuh.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mohammad IV, Kelantan bangkit untuk mengikat Felda United 1-1.

Felda United  tidak menunjukkan rasa gugup beraksi di gelanggang lawan dan mengatur beberapa gerakan berbahaya ke kubu Kelantan.

Dengan diterajui penggempur berbisa, Francis Forkey Doe, Felda United sentiasa mengancam gawang tuan rumah.

Hasilnya, pada minit kesembilan, Forkey Doe bijak menyempurnakan peluang untuk meletakkan Felda United di depan.

Tersentak, Kelantan cuba untuk menyusun gerakan ke arah gawang Felda United.

Bagaimanapun, gerakan The Red Warrios gagal menemui penyudah ataupun dinafikan barisan pertahanan pelawat.

Masuk babak kedua, Kelantan berpeluang menyamakan kedudukan, namun percubaan Indra Putra Mahayuddin mudah diselamatkan penjaga gol Felda United, Mohd Farizal Harun.

Kelantan tampak lebih fokus dalam babak kedua dalam mencari gol penyamaan tetapi dikecewakan oleh penyudah kurang tepat.

Namun, usaha mereka itu akhirnya berbalas apabila Wander Luiz menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang pada minit ke-77.

Keputusan:

Sarawak 2 Terengganu 1

Kedah 1 Pahang 0

Perak 1 PDRM 0

P Pinang 1 JDT 1

T-Team 1 Selangor 0

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *