KUALA TERENGGANU, Sektor agro makanan disasar menyumbang lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata tahun lalu sektor agro makanan menyumbang 3.3 peratus atau RM36 bilion kepada KDNK negara.

Beliau berkata, angka itu masih sangat kecil dan pihaknya optimis mahu memberi fokus kepada beberapa bidang kekayaan baharu, selain melahirkan lebih ramai jutawan terutama dalam kalangan belia dalam bidang agro makanan.

Ketika ini, katanya, sektor pertanian menyumbang agak tinggi, iaitu kira-kira 8.1 peratus atau RM81 bilion kepada KDNK negara, tetapi jumlah itu termasuk kelapa sawit dan getah, yang di luar daripada rangkuman bidang kementeriannya dan bukan agro makanan.

“Kita mahu sesuatu yang lebih besar lagi daripada agro makanan termasuk ternakan dan perikanan. Malah, kita juga masih bergantung kepada hasil tani import dan tidak mengeksport hasil tani ke luar.

“Justeru, kita akan merangka satu rancangan yang lebih besar supaya kita dapat tingkatkan sumbangan ini ke tahap lima peratus,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Kali Ke-43 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu, Datuk Wan Zakaria Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad.

Ahmad Shabery berkata, negara perlu mengurangkan kebergantungan import bijian seperti jagung untuk makanan ternakan, selain memperluas eksport hasil tani seperti durian, selain hasil tenusu yang mendatangkan keuntungan besar kepada petani dan penternak tempatan.

Beliau berkata, kementerian juga mahu melahirkan lebih ramai jutawan agro tani terutama dalam kalangan belia, yang ketika ini jumlahnya masih kecil.

“Di seluruh negara kita ada lebih 800,000 peladang yang berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kebangsaan dengan 10 hingga 20 peratus ialah usahawan tani muda.

“Tetapi kita mahu lahirkan lebih ramai lagi jutawan tani yang terdorong menceburi bidang ini kerana inspirasi daripada peladang sedia ada, bukan kerana mereka terpaksa menceburi bidang ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *