Share on Facebook

BAGAN DATUK, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua Sekolah Agama dan Maahad Tahfiz perlu melaksanakan latihan kebakaran sekurang-kurangnya sekali dalam setahun bagi mengelak kejadian tidak diingini seumpama itu daripada berlaku.

Beliau berkata latihan kebakaran itu perlu dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bagi membantu institusi pendidikan agama meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di premis masing-masing.

Katanya buku panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) untuk sekolah Tahfiz 2018 terbitan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) yang dilancarkan hari ini perlu dijadikan panduan sepenuhnya dalam mengadakan latihan kebakaran.

“Saya harap buku panduan itu dapat digunakan sepenuhnya di setiap maahad tahfiz di seluruh negara,” katanya  ketika berucap melancarkan buku KKP untuk Sekolah Tahfiz 2018 peringkat kebangsaan dan merasmikan Seminar Pengurusan KKP di Sekolah Menengah Agama (SMA) Irshadiah Addiniah di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abd Muttalib, Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengarah Eksekutif NIOSH Ayop Salleh.

Seminar ‘Pengurusan KKP Untuk Sekolah Tahfiz’ itu bertujuan meningkatkan kefahaman, penghayatan serta mewujudkan budaya selamat dan sihat ketika berada di sekolah dan persekitaran secara berterusan dengan sokongan sekolah, keluarga dan komuniti setempat.

Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk berkata tanggungjawab telah diberikan kepada NIOSH untuk mengadakan kempen kesedaran secara besar-besaran tentang KKP untuk sekolah tahfiz seluruh negara dengan kerjasama JBPM, pihak berkuasa tempatan dan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsan (PINTA Kebangsaan).

Malah, katanya inisiatif diambil Kementerian Sumber Manusia untuk menjadikan SMA Irshadiah Addiniah sebagai sekolah contoh mengamalkan pengurusan KKP yang baik akan dapat memberikan idea serta gambaran sebenar bagaimana ia dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Ismail dalam ucapannya berkata NIOSH telah melatih sebanyak 728,739 orang melalui 31,720 program KKP untuk pelbagai industri di ibu pejabat dan cawangan NIOSH di seluruh negara bagi tempoh 2011 hingga 2016.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *