Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Datuk Seri Najib Razak melahirkan keyakinan bahawa beliau tidak bersendirian dalam mengemudi kepemimpinan UMNO apabila memperoleh sokongan dan kepercayaan peringkat akar umbi.

Keyakinan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri itu disuarakan ketika menyampaikan ucapan dasar presiden bertajuk ‘UMNO: Pelaksana Wasiat Pusaka, Harapan Sejati Kesejahteraan Negara Bangsa’ pada Perhimpunan Agung UMNO 2017.

“Inilah, … perlambangan sebuah keyakinan bahawa, saya… Najib Razak selaku Presiden UMNO tidak berseorangan, … bermakna juga kepemimpinan kami yang di atas ini tidak bersendirian.

“Sebabnya… tanpa sokongan tuan-tuan, ahli-ahli tegar lagi setia UMNO,… yang di dalam dewan ini, waima di mana jua berada, apalah ertinya kami pimpinan yang berada di atas ini,” katanya di hadapan 2,718 perwakilan yang menghadiri perhimpunan kali ke-68 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, sebentar tadi.

Najib menegaskan dengan semangat yang ditonjolkan ahli UMNO, beliau yakin parti akan terus malar dan segar untuk hidup memimpin, bukan sekadar 30 tahun mendatang, malah bagi tempoh 1,000 tahun lagi.

Beliau menyifatkan perhimpunan hari ini cukup luar biasa dengan catatan rekod kehadiran paling ramai jumlah perwakilan, ahli dan pemerhati serta orang ramai yang dianggarkan lebih 30,000 orang.

Najib yang menyampaikan amanat presiden kali kesembilan sejak mengemudi UMNO pada 2009, turut menyeru jentera parti supaya bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Dengar baik-baik… saudara saudariku, panglima-panglima, wirawati-wirawati serta hulubalang bangsa dan agama, seandainya hari ini ditiupkan semboyan, seraya dipalu genderang perang, saya mahu bertanya…”Apakah kita semua sudah bersedia untuk ke medan juang? Bersediakah kita? Bersediakan kita?,” katanya yang mendapat reaksi positif daripada perwakilan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *