Penjenayah yang dipercayai mendalangi samun bersenjata di sebuah bank di Jalan Imbi di sini dan melarikan wang tunai berjumlah RM46,000, pada 11 September lalu, ditahan minggu lalu.

Lelaki tempatan berusia 38 tahun itu ditahan kira-kira jam 8.30 malam Rabu lalu oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Dang Wangi dan Cawangan Jenayah Berat (D9) Polis Kuala Lumpur di sebuah pusat beli belah di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Habibi Majinji, berkata suspek yang bekerja sebagai pengurus kredit di sebuah syarikat swasta mendakwa melakukan jenayah itu kerana terdesak membayar hutang peribadinya.

“Kita masih menyoal siasat suspek untuk memastikan motif sebenar perbuatannya.

“Sebaik ditahan, suspek dibawa ke pejabatnya di Jalan Imbi dan menemui pakaian serta peralatan yang digunakan ketika kejadian antaranya baju, pisau, kasut, topi dan seluar yang menepati ciri suspek dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) bank terbabit.

“Kita turut menemui baki wang disamun berjumlah RM13,590 disimpan di pejabatnya,” katanya pada sidang media di sini, pada isnin.

Habibi berkata, suspek yang direman sehingga Rabu ini tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian jam 12.15 tengah hari itu, suspek dipercayai memasuki bank berkenaan dengan memakai topeng jerebu dan berlagak sebagai pelanggan.

Dia kemudian mengeluarkan sebilah parang dari beg galasnya ketika menghampiri kaunter di bank berkenaan.

Suspek kemudian mengarahkan dua petugas wanita memasukkan sejumlah wang tunai ke dalam beg berkenaan sebelum berjalan keluar melalui pintu hadapan ke arah bangunan berdekatan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *