Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd hari ini melancarkan televisyen ultra definisi tinggi (UHD) 4K ‘The Frame’ yang memberi efek paparan gambar atau lukisan di dinding.

Ketua Perniagaan Pengguna SME, Jimmy Tan Chee Wee berkata televisyen itu direka khusus bagi melengkapi gaya hidup baharu pemilik kediaman yang mahu menonjolkan hiasan dalaman rumah masing-masing.

“Televisyen ini adalah untuk pasaran khusus. Ini disebabkan segmen pasaran baharu itu terdiri daripada pelanggan yang bukan sahaja mahu menonton program kegemaran, sebaliknya inginkan paparan karya atau imej seni yang menjadi sebahagian hiasan dinding ruang berkenaan,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran TV 4K itu di sini.

Tan berkata paparan televisyen dilengkapi pengesan kecerahan bagi paparan kandungan lebih khusus, juga boleh dilaras mengikut kesesuaian cahaya semula jadi ruang yang memberikan efek seperti lukisan di dinding.

The Frame didatangkan dalam dua saiz iaitu 55 inci dan 65 inci dan boleh memaparkan karya seni atau gambar yang dikawal menerusi aplikasi mudah alih.

“Bagi memastikannya dapat memantapkan lagi suasana dan hiasan ruang tamu, televisyen ini ditawarkan dengan rangka dalam warna termasuk kayu dan putih. Ini memberi pilihan untuk pemilik memadankan televisyen itu dengan hiasan dalaman mereka,” katanya.

Televisyen ‘The Frame’ yang ditawarkan pada harga RM14,999 (65 inci) dan RM9,999 (55 inci) akan berada di pasaran Malaysia pada 15 Ogos, 2017.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *