Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berharap agar sambutan perayaan dapat dilaksanakan setiap tahun kerana dapat menarik lebih ramai pelancong.

Menurutnya, sambutan itu amat bertepatan dengan Tahun Melawat Perak tahun ini sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke Taiping.

“Sambutan tersebut perlu dijadikan sebagai salah satu acara wajib untuk disambut secara meriah kerana Vaisakhi memiliki keunikannya tersediri,” katanya ketika berucap semasa perasmian Majlis Rumah Terbuka Vaisakhi 2017, di Dataran Warisan Taiping, di sini.

Tambah Mohamed Nazri, sambutan Vaisakhi adalah antara budaya masyarakat Sikh yang unik termasuk melakukan ‘langar’ atau ‘dapur’ iaitu menghidangkan dan memberi makanan percuma kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum, agama, kepercayaan serta latar belakang di setiap Gurdwara (rumah ibadah masyarakat Sikh).

“Dalam masa yang sama, masyarakat Sikh sanggup ke jalan raya hanya untuk memastikan sumbangan sampai kepada golongan yang layak adalah satu contoh yang baik kepada semua.

“Malah, ia juga menerapkan amalan supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata, perayaan ini perlu disambut setiap tahun untuk diketahui umum kerana perbezaannya dengan perayaan kaum India.

“Masyarakat Sikh juga terkenal dengan keberanian mereka menjaga keselamatan negara pada zaman kemerdekaan dahulu dan kini mereka juga terkenal apabila menceburi pelbagai bidang seperti kedoktoran dan guaman,” katanya.

Katanya, kerajaan juga tidak pernah lupa dengan keperluan masyarakat Sikh, malah baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah menyampaikan peruntukan sejumlah RM 200,00 bagi membantu membaikpulih Gurdwara di Sungai Besi yang mengalami kerosakan.

Terdahulu turut berlangsung pelbagai tarian tradisional, persembahan muzik, persembahan Bangra dan kesenian budaya Punjabi memeriah sambutan yang dihadiri sekitar 3,000 orang.

Orang ramai juga turut dijemput memeriahkan MyVaisakhi Fest 2017 pada 29 April ini di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan kerjasama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Punjabi Malaysia.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Adun Trong, Datuk Dr. Zabri Abdul Wahid dan Penasihat Kepada Menteri Pelancongan (Hal Ehwal Masyarakat India) Datuk Seri Daljit Singh Dalliwal, Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama, Datuk Kamaruddin Awang dan Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama, Datuk Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *