Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperkenalkan program penanaman pokok jenis ‘Sacha Inchi’ sebagai usaha meningkatkan pendapatan di kalangan isteri pekebun kecil yang tidak bekerja.

Pokok Sacha Inchi yang mempunyai buah berbentuk seperti biji getah mampu mengeluarkan minyak jenis Omega 3, Omega 6 dan Omega 9 yang berfungsi untuk memulihkan tenaga serta kesihatan badan.

Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata sebagai permulaan agensi itu mengeluarkan peruntukan RM300,000 bagi membeli benih Sacha Inchi yang kini sedang giat dimajukan di pasaran Thailand.

“Kami sudah berbincang untuk memberi 10 pokok kepada setiap isi rumah pekebun kecil RISDA dan dalam tempoh lapan bulan, mereka akan mendapat hasil daripada pokok ini yang mempunyai jangka hayat 20 tahun.

“Harga buah ini mungkin tidak mahal iaitu cuma RM3 sekilogram tetapi penjagaan pokok ini mudah. Kami yakin ia mampu mengurangkan kos sara hidup isi rumah, selain pasarannya yang cukup baik di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Konvensyen Amalan Pertanian Baik Peringkat RISDA Negeri Perak 2017 di Pejabat RISDA Perak di sini, pada rabu.

Zahidi berkata, ketika ini pihaknya sudah mula melatih pekebun kecil dan perkembangannya akan diketahui dalam masa terdekat.

“Untuk peringkat awal, kami akan memulakan (pemberian dan penanaman pokok) di wilayah utara Semenanjung sebelum dikembangkan ke seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang berbincang untuk mengeluarkan sendiri pil Sacha Inchi untuk pasaran tempatan.

Pada majlis itu, Zahidi turut menyampaikan anugerah Kebun Terbaik 2016 Getah, Kebun Terbaik 2016 Sawit dan Depot Belian Getah Terbaik 2016 bagi negeri Perak.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *