LENGGONG, Royal Belum di Gerik Perak, Permatang Kuarza di Gombak, Selangor dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong akan dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah menghantar tiga dokumen ‘Tentative List’ sebelum penghantaran dosir (dokumen berkaitan) lengkap untuk pengiktirafan tiga-tiga tempat itu sebagai tapak warisan dunia oleh UNESCO (Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu).

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pada masa ini, Jabatan Warisan Negara sedang berusaha menyiapkan dosir pencalonan bagi tapak berkenaan dengan kerjasama pelbagai pihak bagi memenuhi kriteria dan kehendak UNESCO.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Karnival Lenggong 2017 sempena sambutan ulang tahun ke-5 Pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai tapak warisan dunia UNESCO di Dataran Lenggong di sini Sabtu malam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Ab Ghaafar A Tambi.

Tapak Warisan Lembah Lenggong yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 30 Jun 2012 merupakan bukti kewujudan aktiviti masyarakat prasejarah yang tertua di dunia dan di situ terjumpanya rangka manusia prasejarah iaitu Perak Man.

Menurut Mohamed Nazri, selain itu kementerian juga sentiasa berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan bagi kategori warisan termasuk dokumentari dan manuskrip.

Beliau berkata kitab ‘Tib Ilmu Bedil’ telah berjaya diperoleh pada tahun 2016 di bawah Memory of the World Asia Pacific (MOWCAP). Ini merupakan pengiktirafan pertama di bawah badan tersebut yang berpusat di Korea Selatan.

Mohamed Nazri berkata Jabatan Warisan Negara juga telah menghantar tiga pencalonan untuk warisan kebudayaan tidak ketara bagi pengiktirafan di bawah ‘Convention for the Safeguarding of Intangible Cultural Heritage 2003’.

Katanya warisan tersebut ialah Upacara Wangkang di bawah kategori ‘Urgent Need for Safeguarding’, Dondang Sayang di bawah ‘Representative List’ dan Pantun secara ‘Multi-National File’ bersama Indonesia.

Beliau berkata pencalonan ketiga-tiga warisan berkenaan telah dihantar pada 31 Mac 2017 dan keputusan sama ada berjaya atau tidak bakal diketahui pada November tahun 2018.

Sehubungan itu, Mohamed Nazri meminta semua pihak memainkan peranan untuk bekerjasama dalam memelihara khazanah warisan negara termasuk Lenggong.

Beliau berkata ini boleh dilakukan melalui pelbagai bentuk termasuk memaklumkan kepada Jabatan Warisan Negara sekiranya terdapat sebarang jumpaan yang dipercayai mempunyai kepentingan dari segi sejarah, kebudayaan dan lain-lain.

Sekiranya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab cuba merosakkan bahan-bahan Warisan Negara hendaklah melaporkan kepada Jabatan Warisan Negara, katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *