Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 800 Juta sebagai langkah penyelesaian jangka panjang kepada masalah risiko bencana banjir yang sering melanda Kelantan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke 11 (RMK 11) itu juga merupakan salah satu inisiatif diambil kerajaan bagi memastikan pendapatan rakyat tidak terjejas akibat masalah tersebut.

Menurutnya, peruntukan berkenaan adalah melibatkan beberapa fasa dalam projek tebatan banjir di lembangan Sungai Golok yang  membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta serta RM500 juta bagi kerja pengorekan Muara Sungai Kelantan dan pembinaan tambak.

“Projek yang dikendalikan di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dijangka dilaksanakan pada Jun 2017 depan serta akan disiapkan dalam tempoh lima tahun ini.

“Manakala bagi kerja-kerja pengorekan Sungai Kelantan dan pembinaan tambak pula sedang direka bentuk oleh JPS di bawah fasa kedua bagi memastikan isu banjir diatasi bagi tempoh jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika lawatannya ke rumah seorang pesara tentera, Abu Bakar Md Ahmad di Taman Bukit Senang, di sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata, meskipun Kelantan dipimpin oleh pihak pembangkang, kerajaan pusat tetap mengambil inisiatif dalam membantu usaha ini atas dasar keprihatinan untuk kesenangan rakyat.

“Bagaimanapun pihak kerajaan tetap mengharapkan kerjasama kerajaan negeri untuk memantau aktiviti pembalakan haram di sekitar Sungai Kelantan jika mahu memastikan projek berjalan dengan lancar,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *