Rakyat Besut disifatkan sangat beruntung kerana telah menerima pelbagai manfaat hasil beberapa projek pembangunan bernilai lebih RM1 bilion yang disalurkan kerajaan pusat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata Besut yang digelar Bumi Darul Albab juga melakar satu lagi kisah kejayaan dengan pembinaan Politeknik Besut di daerah itu bernilai RM169.7 juta.

“Terima kasih banyak-banyak kepada Kementerian Pendidikan Tinggi kerana biasanya politeknik ini di setiap negeri ada dua sahaja, tapi istimewa di Terengganu ni, kami dapat empat.

“Beruntung benar jadi orang Terengganu, beruntung benar jadi orang Besut sebab dapat politeknik ini. Sebelum ini (peruntukan) projek gerbang pelancongan Kuala Besut sebanyak RM250 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian pecah tanah Politeknik Besut yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini pada jumaat.

Ahmad Razif berkata beliau juga telah berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri semalam untuk mengemukakan permohonan meluluskan projek Jalan Keruak yang diminta oleh Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad sebelum ini.

“Nawi jangan bimbang…semalam Timbalan Perdana Menteri telah minitkan surat meluluskan untuk melaksanakan projek itu…RM400 juta lagi bakal diperoleh penduduk Besut.

“Itu tidak termasuk peruntukan daripada kerajaan negeri iaitu sebanyak RM30 juta untuk setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Besut ada empat DUN dan ini bermakna RM120 juta diterima di Besut,” katanya.

Sehubungan itu, Menteri Besar berkata rakyat Besut diharap meneruskan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional dengan kemenangan 5-0 pada pilihan raya umum ke-14.

Politeknik Besut dilancarkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh pada 18 Mac lalu dan telah pun beroperasi di bangunan sementara di Mas Sekupang di Kampung Raja di sini.

Ketika ini, bilangan pelajar di Politeknik Besut adalah seramai 20 orang bagi program Diploma Teknologi Digital (DDT) dan 12 pelajar lagi sedang mengikuti Pra Diploma Sains.

Kampus kekal bagi Politeknik Besut Terengganu juga terletak di Kampung Raja dan dijangka siap pada 11 Jan 2021.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *