Filem Abang Long Fadil 2 (ALF2) mengutip RM13 juta selepas 13 hari ditayangkan di 120 pawagam di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.

Mula menemui penonton pada 23 Ogos lalu, ALF2 dijangka mampu melakar satu lagi sejarah dalam dunia sinematik tempatan berikutan prestasi baik ditunjukkan memasuki minggu ketiga tayangan.

Sehingga kelmarin, ALF2 menduduki tangga pertama dalam carta ‘box office’ mengatasi judul antarabangsa bagi filem yang ditayangkan dalam tempoh dua minggu.

Penerbit ALF2, Datuk Yusof Haslam memberitahu, sambutan luar biasa terhadap karya terbitan Skop Production Sdn Bhd dan Astro Shaw itu membuktikan industri perfileman masih disokong penonton tempatan.

“Filem bukanlah produk yang boleh dijangka. Sama seperti penerbit lain, awalnya saya bimbang apabila melihat tidak banyak filem mencecah kutipan pecah panggung sehingga bulan lalu,” katanya.

Sebelum ini, ALF2 yang diarahkan Syafiq Yusof, dilaporkan mengutip RM700,000 pada hari pertama tayangan. Filem itu dibintangi artis popular seperti Zizan Razak, Syamsul Yusof, Datuk AC Mizal, Wak Doyok dan Tania Hudson.

Yusof berkata, selain kekuatan cerita dan mutu produksi, ALF2 mencapai kejayaan berikutan musim cuti sekolah dan Aidiladha.

“Alhamdulillah, semua pawagam masih menayangkan filem ini. Selepas berbincang dengan Astro Shaw, mereka bersetuju mengekalkan filem ini di pawagam selagi mendapat sambutan.

“Saya berterima kasih kepada Astro Shaw yang banyak menyokong daripada segi pemasaran dan promosi. Kami berharap filem ini dapat memecahkan rekod kutipan tertinggi,” katanya.

Sebelum ini, filem Polis Evo yang ditayangkan tahun lalu mencatat kadar jualan tiket terbanyak iaitu RM17,740,000.

-BH Online-

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *