ALOR SETAR, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berhasrat melahirkan lebih ramai bidan terlatih berikutan permintaan tinggi seiring dengan populasi rakyat Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) RISDA, Nasarudin Malek, berkata menerusi program MyBidan yang diperkenalkan sejak tahun lalu, pihaknya melatih bidan yang mempunyai kemahiran khusus untuk mengurut wanita selepas bersalin.

“Proses mengurut selepas bersalin menjadi amalan masyarakat Malaysia namun kemahiran ini hanya dikuasai oleh warga emas, sedangkan ramai wanita yang bersalin sanggup berhabisan wang ringgit untuk mencari bidan walaupun lokasinya jauh.

“Disebabkan keadaan inilah, saya yakin usahawan MyBidan akan mendapat permintaan yang tinggi, sekali gus menjanjikan pendapatan sampingan yang lumayan, selain fokus utama terhadap penanaman getah mereka,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan RISDA Fest Kedah 2017 di sini, hari ini.

Nasarudin berkata, selain urutan selepas bersalin, usahawan MyBidan juga akan dilatih untuk mengurut anggota badan supaya kemahiran mereka tidak terbatas.

“RISDA memperuntukkan RM27 juta bagi aktiviti sebegini yang merangkumi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), pembangunan produk, premis perniagaan dan pemasaran, pameran dan promosi serta jaringan strategik bagi pekebun kecil atau ahli keluarga mereka yang mahu menyertai MyBidan.

“Wanita yang berminat dalam bidang ini juga tidak perlu bimbang untuk mencari pelanggan kerana RISDA akan membantu mempromosi perkhidmatan mereka.

“Seperti di Kedah, kita hanya mempunyai seorang usahawan MyBidan, jadi saya harap lebih ramai ahli keluarga atau pekebun kecil berminat menyertai program MyBidan ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *