CYBERJAYA, Nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka meneruskan aliran meningkat dalam separuh kedua tahun ini, didorong peningkatan hasil eksport dan aliran masuk pelaburan asing serta harga minyak mentah yang stabil antara AS$47 hingga AS$50 setong.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah, berkata ekonomi negara juga dijangka terus mantap dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hingga lima peratus pada tahun ini.

“Ekonomi kita menunjukkan prestasi yang baik. Saya secara peribadi berpendapat kita mampu mencapai KDNK lima peratus atau lebih. Nilai ringgit juga akan semakin baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Permulaan Program Pemecut Global (GAP) di Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Ashran Ghazi.

Ditanya sama ada unjuran KDNK itu akan disemak semula, Irwan berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam kumpulan perancangan antara agensi membabitkan Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Bank Negara Malaysia serta Jabatan Statistik dan akan diumumkan dalam pembentangan Bajet 2018 kelak.

Sementara itu, Irwan berkata, GAP yang dianjurkan MaGIC akan menjadi platform bagi 56 peserta dengan idea inovasi terbaik dari 11 negara mempelajari kemahiran, pengetahuan dan mewujudkan rangkaian hubungan yang diperlukan untuk menembusi pasaran ASEAN serta menarik pelabur.

“Ia membabitkan pelbagai sektor termasuk kesihatan dan pendidikan. Kita harap mereka akan menghasilkan penciptaan baharu untuk pasaran dan menjadi usahawan yang berjaya,” katanya.

Sementara itu, Ashran berkata, MaGIC akan menawarkan bimbingan selama empat bulan yang diberikan sendiri oleh pakar perniagaan dan teknikal, akses terus kepada rakan kongsi pemasaran produk seperti Axiata, Digi, Maxis dan Maybank, dengan manfaat bagi peserta bernilai lebih AS$400,000 (RM1.7 juta).

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *