Ringgit dijangka mengalami pembetulan lagi minggu depan kepada RM4.15 berbanding dolar US berikutan keputusan mengejutkan pungutan suara Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, pembetulan itu adalah reaksi spontan dan di luar kawalan kawal selia kerana ia juga berlaku di ekonomi sedang muncul lain.

“Bagaimanapun, situasi itu menawarkan peluang untuk membeli secara murah. Tetapi apa yang lebih penting ialah psikologi pelabur dan kita berharap tidak berlaku jualan panik,” katanya.

Untuk minggu baru berakhir yang pendek disebabkan cuti, ringgit diniagakan keseluruhannya lebih tinggi berbanding dolar US dipacu keyakinan Britain akan kekal dalam EU tetapi sentimen itu segera bertukar pada Jumaat selepas undi untuk keluar blok ekonomi itu mendahului ketika pengiraan dijalankan.

Pasaran ditutup pada Rabu untuk cuti umum sempena Nuzul al-Quran.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, mata wang tempatan itu lebih tinggi kepada 4.0850/0950 berbanding dolar US daripada 4.0970/0030 pada minggu sebelumnya.

Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.6806/6961 daripada 5.8550/8652 sebelum ini dan naik berbanding euro kepada 4.5450/5573 daripada 4.6112/6196.

Bagaimanapun ia jatuh berbanding yen kepada 3.9668/9777 daripada 3.9277/9350 pada minggu lepas.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *