Gol yang dijaringkan Wes Hoolahan pada minit ke-48 hampir menghadiahkan kemenangan buat Republik Ireland ketika menentang Sweden pada aksi pembukaan Kumpulan E, awal pagi Selasa.

Namun peluang itu terbantut apabila Ciaran Clark menjaringkan gol ke gawang sendiri sekali gus memberikan gol percuma kepada Sweden menyebabkan keputusan berakhir seri 1-1.

Pada pertembungan di Stade de France itu, Sweden yang diperkuat penyerang prolifik, Zlatan Ibrahimovic menguasai babak pertama perlawanan.

Begitupun Sweden gagal menemui penyudah berbisa dan Republik Ireland dilihat mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol.

Kedua-dua pasukan gagal memecah kebuntuan pada babak pertama sebelum Hoolahan menjaringkan gol buat Republik Ireland tiga minit selepas perlawanan memasuki babak kedua.

Pada awalnya kedudukan Republik Ireland tampak selesa sebelum Clark menanduk masuk bola ke gawang sendiri.

Sweden bagaimanapun melakukan beberapa serangan berbahaya menerusi kaptennya Ibrahimovic tetapi gagal menembusi benteng pertahanan lawan.

Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam Kumpulan E.

Meskipun terikat seri 1-1, Pengurus Republik Ireland, Martin O’Neill tetap memuji corak permainan anak buahnya.

“Saya fikir mereka mempamerkan persembahan menakjubkan dalam perlawanan yang sangat hebat ini.

“Jika saya mengambil kira prestasi hari ini, pemain berjaya melaksanakan tugas mereka dengan cemerlang.

“Kami mempunyai keinginan untuk menang tetapi ramai pemain menjadi lebih matang apabila beraksi pada kejohanan antarabangsa,” kata O’Neill.

Barisan Pemain:

REPUBLIK IRELAND: Randolph, Coleman, Clark, O’Shea, Brady, Whelan, McCarthy, Hendrick, Walters, Hoolahan, Long.

SWEDEN: Isaksson, Lustig, Granqvist, Lindelof, Olsson, Larsson, Lewicki, Kallstrom, Forsberg, Ibrahimovic, Berg.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *