Kempen anti-rasuah di seluruh negara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin diterima ramai.

Orang ramai memuji kempen 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle) sebagai satu langkah yang betul dalam usaha memerangi rasuah.

Pelajar kolej Andrew Felix Lee, 18, berkata beliau sangat menyokong inisiatif tersebut.

“Ia bermula dengan kita. Kita juga mempunyai peranan untuk dimainkan, bukan sahaja pihak berkuasa.

“Sebagai permulaan, saya sentiasa akan mengingatkan keluarga dan kawan-kawan saya untuk tidak memberi rasuah, tanpa mengira apa pun situasi mereka,” katanya.

Rakan sekolejnya, Surakaia Mohan, juga berusia 18 tahun, berkata beliau berharap kempen itu akan mengubah tabiat sebahagian rakyat Malaysia yang cuba untuk ‘settle’ dengan polis apabila mereka ditahan atas sesuatu kesalahan.

“Rasuah adalah tabiat yang tidak baik dan setiap orang yang menawarkan rasuah harus berasa malu,” katanya.

Pesara, Dicky Cheah, 61, memuji kempen 3J sebagai ‘permulaan yang baik untuk menghapuskan rasuah di negara ini’.

“Apa itu rasuah? Ia seperti barah dan memakan diri secara perlahan-lahan sehingga anda tiada apa-apa,” katanya.

Abang Hamzah, 60, berkata rasuah merosakkan moral dan prinsip-prinsip masyarakat, memberikan gambaran yang tidak baik kepada setiap individu.

“Ia adalah satu penyakit yang mana semua rakyat Malaysia perlu berjuang melawannya,” katanya.

Pengasas dan Pengarah Urusan Original Penang Kayu Nasi Kandar, Burhan Mohamed telah dilihat mengedarkan pelekat kereta 3J kepada pelanggan-pelanggannya, di SS2 di sini, Selasa.

Burhan, yang turut hadir pada majlis pelancaran kempen itu di Menara Star pada Isnin berkata ia adalah satu pendekatan yang sangat baik kerana dilakukan sehingga ke peringkat akar umbi.

Beliau menyamakan rasuah dalam negara dengan anai-anai yang merosakkan sebuah rumah.

“Jika kita terus membiarkan anai-anai berada dalam rumah, seluruh rumah akan runtuh secara perlahan-lahan.

“Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku kepada negara kita,” katanya.

Burhan berkata, Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (Presma), di mana beliau juga adalah ahlinya akan mengadakan mesyuarat pada 16 Mei dan beliau mungkin akan mencadangkan untuk Presma menyediakan pelekat meja 3J bagi restoran yang menjadi ahli.

 

-mStar-

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *