KOTA BELUD, Rakyat Malaysia bertuah kerana kerajaan sentiasa prihatin dan rancak menjalankan pelbagai program pembangunan, termasuk usaha membantu rakyat terutama golongan yang memerlukan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak .

“Alhamdulillah, usaha (kerajaan) ini dapat dijalankan berkat kestabilan politik negara kita dan keamanan yang kita perolehi.

“Kita juga melihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi tumpuan, bukan sahaja kepada masyarakat di bandar, tetapi juga masyarakat di luar bandar termasuk dari segi pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Baik Pulih Rumah Secara Bergotong Royong Kawasan Parlimen Kota Belud di Kampung Sembirai di sini, yang dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah ICU Datuk Seri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Mengenai program itu, yang merupakan satu daripada program di bawah projek ‘Touch Point 2017’ ICU, Salleh yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Usukan, berkata pendekatan secara bergotong royong itu amat dialukan oleh golongan memerlukan di Kota Belud.

Sebanyak 10 rumah di Kota Belud akan dibaik pulih menerusi program itu, katanya.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Sabah Datuk Ruji Ubi berkata sebanyak 120 rumah di seluruh negeri akan dibaik pulih sebelum 29 Sept ini.

Menurutnya, ICU telah menetapkan tempoh dua minggu untuk menyiapkan kerja membaik pulih sebuah rumah yang menelan kos sehingga RM10,000 setiap rumah.

“Program ini dijalankan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). Antaranya, melibatkan Pejabat Pembangunan Sabah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Rela dan badan bukan kerajaan,” katanya.

Hasek Lala, 54, bersyukur dipilih antara penerima bantuan dalam program itu dan teruja untuk tinggal di rumah yang selesa.

Isterinya Masneh Meran, 50-an, tidak dapat melupakan saat dimaklumkan oleh seorang pegawai ICU yang menjenguknya di rumah untuk membawa khabar gembira itu baru-baru ini.

“Saya terlalu senang hati (gembira) sehingga saya tidak ingat siapa yang dating… pegawai itu datang dalam minggu ini,” kata ibu kepada tujuh anak itu yang amat berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan.

“Suami saya pernah memohon bantuan rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) sejak 2006. Tetapi tiada berita permohonan itu.

“Alhamdulillah, kerajaan telah datang membantu kami. Selama ini juga kami mendapat bantuan kewangan melalui Program e-Kasih dan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia). Kami amat bersyukur,” katanya, sambil melihat sukarelawan sedang membaiki rumahnya.

Menurut Masneh, keluarganya mendiami rumah itu sejak kira-kira 30 tahun lalu dan dengan pendapatan suaminya yang tidak menentu, keluarganya tidak mampu untuk membaiki rumah yang semakin daif.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *