Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah meminta agar rakyat Perlis bersabar dalam menghadapi dugaan sepanjang musim kemarau kesan daripada fenomena El Nino.

Baginda bertitah rakyat juga diminta terus mendirikan solat Istisqa’ dan berdoa kepada Allah agar memudahkan kesulitan yang dihadapi serta mengelak daripada terkena strok haba mahupun sebarang penyakit berkaitan cuaca panas.

“Dalam menghadapi kemarau panjang, seluruh rakyat turut diingatkan agar sama-sama memainkan peranan dengan mengelakkan sebarang pembaziran dalam penggunaan air,” titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah semasa menutup kejohanan Woodball Tertutup Perlis Siri 4/2016 di Gelanggang Woodball Antarabangsa, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra di Pauh Putra di sini, Isnin.

Keberangkatan baginda disambut Pengara?h Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis Abdul Najib Abdullah.

Baginda bertitah JPS Perlis sedang berusaha memastikan air mencukupi di Empangan Timah Tasoh melalui penambahan telaga tiub selain bekerjasama dengan Syarikat Air Perlis (SAP) dalam menangani masalah ini.

“Difahamkan JPS Perlis kini turut membuat persediaan awal dalam menghadapi sebarang kemungkinan banjir di masa akan datang antaranya dengan menyiapkan Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh dan menaik taraf Empangan Timah Tasoh fasa dua dan tiga.

“Walaupun JPS Perlis telah cuba melaksanakan yang terbaik, setiap anggota masyarakat juga perlu mengikis sikap suka membuang sampah di merata tempat terutamanya ke dalam sungai, tasik, kolam atau parit yang menyebabkan saliran air tersumbat dan banjir kilat,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan rakyat jika berlaku banjir, keselamatan diri dan keluarga mestilah menjadi keutamaan dan segera menuju ke pusat-pusat penempatan sementara yang disediakan kerajaan yang akan cuba memberi bantuan yang sewajarnya.

Kejohanan woodball anjuran JPS Perlis dengan kerjasama Persatuan Woodball Perlis dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu berjaya menarik lebih 200 penyertaan? termasuk buat julung kalinya mempertandingkan kategori baharu bagi pelajar sekolah rendah dan menengah.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *