Datuk Abdul Rahman Dahlan melahirkan rasa terkejut mengenai cadangan pemimpin DAP Pulau Pinang untuk mengkaji kemungkinan mengadakan pilihan raya mengejut bagi mengukur tahap sokongan rakyat terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang didakwa kerana rasuah.

“Melakukannya pada masa ini merupakan satu lagi aksi politik murahan daripada mereka. Sama seperti kempen derma dan dakwaan penganiayaan politik,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu di Twitter pada Isnin.

Beliau berkata DAP sebaliknya harus mula mengenal pasti seorang ketua menteri yang baharu jika mahkamah memutuskan bahawa Lim bersalah.

Selain itu Abdul Rahman turut mempersoalkan keputusan untuk mengadakan pilihan raya tergempar pada masa ini.

“Jika pilihan raya mengejut adalah referendum sokongan kepada kepimpinan Lim, tidakkah anda berfikir bahawa ia perlu dilakukan selepas keputusan mahkamah?.

“Sekurang-kurangnya pengundi mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang jelas dengan keterangan yang dikemukakan di mahkamah. Oleh itu, mereka akan mengundi sebagai pengundi berdasarkan maklumat,” katanya.

Dilaporkan bahawa DAP telah mencadangkan dua pilihan sebagai tindak balas kepada tuduhan rasuah yang difailkan terhadap Lim.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berkata, salah satu daripadanya ialah mengadakan pilihan raya mengejut bagi bagi menilai maklum balas rakyat terhadap pertuduhan ke atas Guan Eng.

Pilihan satu lagi pula ialah menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan selewat-lewatnya bulan Ogos 2018.

Lim, 56, dituduh menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk kepentingan peribadi dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan urusan menukar status sebidang tanah daripada tanah pertanian kepada tanah kediaman dan memindah miliknya kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, setiausaha agung DAP itu dituduh mendapatkan untuk dirinya dan isteri secara rasuah sebidang tanah serta banglo di 25, Jalan Pinhorn, George Town, Pulau Pinang daripada seorang ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *