Share on Facebook

SHAH ALAM, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), enam tahun lepas.

Hakim Zamri Bakar turut menjatuhkan hukuman sama terhadap bekas kerani bank, Johari Mohamad selepas didapati bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi yang juga anggota Parlimen Pandan.

Zamri menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pembelaan Mohd Rafizi dan Johari gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali dan Steve Chin.

“Setelah membuat penilaian maksimum terhadap keterangan saksi-saksi, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah. Oleh itu, kedua-tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan kesalahan,” katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan selepas membenarkan permohonan peguam Latheefa Koya yang mewakili Johari dan peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili Mohd Rafizi.

Zamri turut mengekalkan wang jaminan RM15,000 setiap seorang seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Mohd Rafizi, 41, didakwa mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik National Feedlot Corporation (NFC), National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail kepada perunding media, Yusof Abdul Alim dan pemberita akhbar The Star, Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Johari, 47, juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat yang sama. Dia didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103 akta sama.

Seramai 19 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Terdahulu, Ahmad Nizam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai kepincangan yang dikatakan berlaku.

Latheefa turut memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atas anak guamnya atas alasan tertuduh merupakan pesalah pertama dan dalam kes itu, tiada keterangan daripada pihak pendakwaan yang menunjukkan Johari telah mendapat manfaat daripada apa yang dilakukannya.

Lailawati pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas kedua-dua tertuduh berikutan perbuatan mendedahkan maklumat perbankan adalah satu kesalahan serius.

“Kesalahan ini juga terancang, bila tertuduh pertama (Mohd Rafizi) terima maklumat beliau telah sediakan empat muka surat siaran akhbar dan memanggil sidang akhbar untuk terangkan maklumat itu. Ini menunjukkan dia mempunyai masa untuk mempertimbangkan maklumat yang diperoleh tersebut.

“Tertuduh kedua (Johari) pula telah bekerja selama 13 tahun dan saya percaya dengan pengalaman yang luas beliau sangat tahu tanggungjawab untuk merahsiakan maklumat perbankan yang dia boleh akses. Jika dibiarkan perkara ini berlaku saya bimbang orang ramai akan mendapat mesej yang salah bahawa kesalahan seperti ini bukan satu kesalahan serius,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *