Share on Facebook

Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) membuka kaunter zakatnya di seluruh negeri ini tujuh hari seminggu termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang bulan Disember ini untuk memudahkan umat Islam menunaikan pembayaran zakat pendapatan dan harta mereka.

Pengurus Besarnya Nor Azmi Musa berkata pembukaan kaunter ini juga bertujuan untuk menampung kehadiran ramai umat Islam yang kebiasaanya akan mengambil kesempatan menunaikan zakat sebelum 31 Dis ini untuk tujuan mendapatkan pelepasan rebat cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Waktu urusan kaunter pada hari kerja biasa ialah 8.30 pagi hingga 5.30 petang, manakala hari Sabtu, Ahad dan cuti umum ialah dari 9 pagi hingga 4 petang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya selain menunaikan zakat harta di kaunter PZNS, umat Islam di negeri ini juga boleh menunaikan zakat harta di kaunter Pos Malaysia, agen bank PZNS seperti Bank Islam, Bank Rakyat, Bank Muamalat, CIMB dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

Katanya pembayar zakat yang tidak berkesempatan mengunjungi kaunter zakat, mereka boleh menunaikan tanggungjawab zakat mereka pada bila-bila masa kerana PZNS menyediakan bayaran secara talian langsung iaitu www.zakatns2u.biz dengan selamat, mudah dan mesra pengguna.

“Melalui portal ini, pembayar zakat boleh mengira sendiri semua jenis zakat harta dan membuat pembayaran zakat serta-merta. Selain itu semakan semula juga boleh dibuat dengan mudah dan pantas,” katanya.

Selain itu, katanya PZNS telah memperkenalkan mesin kios pembayaran zakat yang pertama di Malaysia, dikenali kiosk zakat ‘One Apps Pay’ yang mana pembayaran boleh dilakukan dengan menggunakan wang tunai.

Nor Azmi berkata pengguna tidak perlu datang ke kaunter zakat dan boleh membayar zakat di kios yang berhampiran tempat tinggal mereka.

Kini terdapat tujuh mesin berkenaan di lokasi yang strategik iaitu di kaunter zakat Kompleks MAINS Aras 4; Seremban Betaria, Jalan Siamang Gagap; Kaunter Senawang; Kaunter Seremban 2; Kaunter Port Dickson; Kaunter Nilai dan Rembau.

“Menariknya mesin ini akan membantu anda menunaikan zakat dengan menggunakan wang kertas bernilai RM1, RM5, RM10, RM20, RM50, dan RM100 dan juga cek. Selain itu, mesin kiosk ini bukan sahaja untuk tunaikan zakat, malah boleh membayar bil telefon, tambah nilai pra bayar, bil telekom, bil Astro dan pelbagai bil utiliti lagi.

Penyediaan kemudahan mesin ini adalah satu usaha PZNS dalam membantu masyarakat sekitar, bukan sahaja untuk menunaikan zakat, malah kesemua bil utiliti boleh dibayar di mesin ini,” katanya.

Beliau menyeru pembayar zakat di negeri ini agar dapat menunaikan zakat dengan lebih awal dan tidak menunggu di saat-saat akhir bagi mengelakkan kesesakan di kaunter-kaunter zakat.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *