Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) di 404 Sekolah Menengah Kebangsaan terpilih yang melaksanakan Mata Pelajaran Vokasional (MPV) dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata program itu adalah tindakan susulan hasil Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) tahun lepas menerusi penekanan aspek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sistem pendidikan dan kurikulum bagi menarik minat pelajar supaya memilih TVET sebagai pilihan pertama.

“Ini akan meningkatkan jumlah pengambilan bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke bidang TVET sebanyak 45 peratus berbanding 36 peratus pada masa ini.

“Secara tidak langsung, peningkatan ini turut menyumbang kepada pengurangan bilangan pelajar lepasan SPM menyertai pasaran pekerjaan tanpa sebarang latihan kemahiran kepada 5 peratus menjelang 2020,” katanya pada majlis perasmian MPPK 2016 di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Seri Ir Zaini Ujang.

Ahmad Zahid berkata PVMA melibatkan 10,000 pelajar di seluruh negara.

“Kementerian Pendidikan turut menyediakan dua laluan mengikuti TVET, iaitu selepas Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) atau selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), TVET akan memberi tumpuan kepada transformasi penyampaian bagi memenuhi permintaan industri dan meningkatkan tarikan TVET sebagai laluan pendidikan pilihan,” katanya.

Selain itu dalam jangka masa panjang, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menetapkan sasaran sebanyak 20 peratus pelajar menengah atas mengikuti bidang TVET menjelang tahun 2020, katanya.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia membuka peluang kepada pelajar memasuki pusat latihan kemahiran yang dibuka kepada lepasan sekolah dan individu yang berminat untuk melanjutkan pengajian dalam TVET.

“Antaranya program mengoptimumkan kapasiti latihan di 32 Institusi Latihan di bawah Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM).

“Kementerian Luar Bandar dan Wilayah pula melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memperkemaskan kurikulum keusahawanan melalui kaedah penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam perniagaan dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDEC),” katanya.

Berhubung maklum balas kerajaan terhadap pembentangan kertas kerja MPPK tahun lepas mengenai pembekuan pengambilan pekerja sektor awam, Ahmad Zahid berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tidak melaksanakan pembekuan pengambilan kakitangan.

“Sebaliknya, pembekuan hanya dilaksanakan bagi pewujudan jawatan-jawatan baharu di kementerian atau jabatan sahaja.

“Pengambilan dan pengisian kakitangan awam masih dilaksanakan SPA bagi kekosongan jawatan-jawatan sedia ada di mana kementerian atau jabatan perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terlebih dahulu sebelum urusan pengisian dilaksanakan,” katanya.

Terdapat tiga pembentangan kertas kerja MPPK 2016 iaitu Sukarelawan: Ke arah Pembentukan Komuniti Penyayang; Perekayasaan Capaian Kemahiran: Pedalaman Sabah dan Sarawak dan Konsep Penyertaan ataupun Penglibatan Sivik Masyarakat Dalam Kerajaan Malaysia.

MPPK 2016 diwakili 65 perwakilan pelajar institusi pengajian tinggi awam/ swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti di seluruh negara.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *