MELAKA, Pergerakan Puteri UMNO Melaka digesa memberi fokus terhadap usaha mengesan pemilih wanita muda yang berpotensi menjadi anggota baharu pergerakan sayap itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata usaha tersebut perlu dilaksana secara efektif melalui perjuangan isu atau masalah yang dihadapi golongan sasar itu yang berusia 35 tahun ke bawah.

“Setakat ini kita mengenal pasti kira-kira 65,000 pengundi wanita muda di Melaka dan daripada jumlah itu saya yakin sebahagian besar daripadanya merupakan bakal pemilih bagi Puteri.”

“Justeru semua anggota Puteri pada setiap peringkat perlu bekerja keras dan turun padang untuk mengesan dan mengenal pasti DNA kumpulan pemilih wanita muda ini,” katanya kepada pemberita selepas program Perjumpaan Ahli-Ahli Pergerakan Puteri UMNO Melaka di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Naib Ketua Puteri UMNO Zahida Zarikh Khan.

Mas Ermieyati berkata beberapa siri perjumpaan, latihan dan kursus akan dilaksana bagi mempersiapkan jentera pergerakan parti negeri itu untuk membantu Barisan Nasional (BN) menghadapi PRU14.

“Secara dasarnya kita di Melaka telah bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran pada pilihan raya umum akan datang dan saya yakin anggota Puteri dapat melaksanakan amanah yang diberikan dengan baik,” katanya.

Beliau memohon pucuk pimpinan UMNO negeri mempertimbangkan penambahan jumlah kuota bagi pergerakan sayap itu bertanding pada PRU14 kerana lebih 50 peratus daripada jumlah pengundi di sini terdiri daripada wanita muda yang mampu memberi sumbangan besar dalam pergerakan BN.

Sementara itu, Idris berkata Pergerakan Puteri merupakan lapisan hadapan BN yang memainkan peranan penting bagi memastikan BN terus menjadi pilihan rakyat.

“Puteri adalah faktor pelengkap dan sayap kiri BN yang akan membantu Wanita dan Pemuda…tanpa satu daripada sayap ini, UMNO dan juga BN akan menghadapi kepincangan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *