Polis menahan empat individu bagi membantu siasatan kes memukul seorang pemandu lelaki yang dikatakan membunyikan hon ketika jemaah sedang solat Jumaat, semalam.

Suspek berusia antara 21 tahun dan 55 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata semua lelaki terbabit ditahan di hadapan surau Austin Perdana, dekat sini, kira-kira jam 1 pagi.

“Awal pagi tadi, polis menahan empat lelaki mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan.

“Pada masa sama, polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan apa-apa komen yang boleh mendatangkan kemudaratan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih degil dengan menyemarakkan api kemarahan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Semalam, berdasarkan laporan yang dibuat, lelaki itu memaklumkan ketika berada di hadapan surau terbabit, kira-kira jam 1.30 tengah hari, dia mendapati sebuah kereta menghalang laluannya menyebabkannya membunyikan hon.

Seorang lelaki keluar dari surau itu dan kemudian mengalihkan kenderaan. Pengadu membunyikan hon semula dan tiba-tiba sekumpulan lelaki datang dan terus memukulnya dengan tangan dan topi keledar sehingga menyebabkan keretanya turut rosak.

Pemandu lelaki berusia 28 tahun itu,yang bekerja sebagai jurutera, cedera di kepala dan badan.

Ahli Jawatankuasa Surau Austin Perdana turut membuat laporan polis.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *