UMNO Kelantan akan memberi tumpuan kepada tiga Parlimen ‘kelabu’ di negeri ini sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Pengerusi Badan Perhubungannya Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata tiga Parlimen itu ialah Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai dengan UMNO tewas kurang daripada 1,000 undi di ketiga-tiga kawasan berkenaan.

“Saya dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan) serta Ketua UMNO bahagian akan mengadakan program jelajah kecil ke setiap peti undi di ketiga-tiga Parlimen itu.

“Dalam jelajah itu, kami akan melihat perancangan dan persiapan yang dilakukan oleh anggota jawatankuasa peti undi di ketiga-tiga Parlimen tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Parlimen Jeli di sini, pada Ahad.

Menurutnya program jelajah kecil itu merupakan sebahagian daripada Program Gelombang Merah yang dilancarkan oleh UMNO Kelantan bagi menawan kembali negeri ini daripada PAS pada PRU14 nanti.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata pihaknya juga akan mempertahankan lima kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU13.

Beliau berkata lima kerusi berkenaan ialah Gua Musang, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Ketereh.

“Selain itu, BN akan berusaha untuk meningkatkan jumlah undi di kelima-lima Parlimen terbabit,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *