Program Impian Sarawak yang dicanang DAP Sarawak umpama ayam bertelur sebiji tetapi riuh sekampung dan tidak sebesar pelbagai program pembangunan luar bandar yang telah dan akan dilaksanakan Barisan Nasional (BN).

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata BN Sarawak tidak perlu mencanang program pembangunan untuk masyarakat luar bandar kerana masyarakat sedar dan telah merasai pelbagai impaknya sebelum ini.

“Saya mahu anda ingat bahawa ketika ini ada projek Impian Sarawak daripada DAP yang tak ada apa-apa. Projek kecil tapi ibarat manok (ayam) bertelur sebiji riuh sekampung.

“BN seperti penyu yang bertelur beratus-ratus tetapi berdiam sahaja. Itulah kedudukan sebenarnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Kampung Skio, Bau, dekat Kuching pada Khamis.

Turut hadir Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin dan ribuan masyarakat khususnya dari Bidayuh.

Dilaporkan, program Impian Sarawak dilancarkan DAP pada September 2013 untuk membekalkan kemudahan asas kepada penduduk kawasan pedalaman negeri ini dan kononnya bukan sekadar strategi politik.

Adenan yang juga Pengerusi BN Sarawak menjelaskan DAP turut membantah permohonan peruntukan kira-kira RM1 bilion untuk pembangunan luar bandar sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri.

“DAP bukan sahaja tidak mahu peruntukan itu diluluskan malah membantah sekeras-kerasnya,” katanya.

Menyentuh mengenai dua kerusi baharu; Serembu dan Bukit Semuka yang diwujudkan khusus untuk Bidayuh, Adenan kemudian mengingatkan rakyat bahawa perkara ini dibantah sekutu DAP iatu Parti Keadilan Rakyat, sekeras-kerasnya.

“PKR tidak mahu ia diwujudkan bahkan mereka bawa kita ke mahkamah dan kita telah kalah. Tetapi apabila kita membuat rayuan, Mahkamah Rayuan putuskan boleh wujudkan dua kerusi ini.

“Jadi kelak apabila mereka ingin bertanding sewaktu pilihan raya nanti, anda tanya mereka kenapa mahu bertanding di kawasan yang mereka sendiri bantah pada mulanya?”, kata Adenan.

Jelas Adenan, penambahan dua kerusi menjadikan lapan kerusi diwakili Bidayuh itu bagi membolehkan suara orang Bidayuh didengari di seluruh Sarawak walaupun peratusannya rendah.

Tambahnya, kerajaan BN mengiktiraf sumbangan orang Bidayuh dalam ekonomi Sarawak dan membayangkan Bidayuh bakal dan harus mempunyai bahagian sendiri seperti kaum dan bangsa lain di Sarawak.

“Dulu kita dengar Serian itu sebuah sub-daerah, diangkat menjadi daerah dan sekarang bahagian Serian. Kecil menjadi besar, besar menjadi lebih besar. Jadi, anda berhak mendapat satu bahagian anda sendiri.

“Kalau Samarahan bahagian untuk Orang Melayu, Sibu dan Sarikei untuk orang Cina, Mukah untuk orang Melanau, Baram untuk orang Hulu, kenapa tidak satu bahagian khusus untuk orang Bidayuh,” katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh.

Dalam ucapannya, Adenan berkata dua calon bagi kerusi baharu itu akan diumumkan tidak lama lagi. Enam kerusi BN lain yang diwakili oleh Bidayuh ialah Tebedu, Tarat, Kedup, Mambong, Tasik Biru dan Opar.

Dalam majlis itu, Adenan turut memgumumkan peruntukan RM500,000 bagi pembinaan balai baru yang bakal diselia jawatankuasa kampung tersebut.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *