Industri perfileman negara semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat lantaran mencapai prestasi yang membanggakan sepanjang tahun 2016.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, industri filem tempatan mencapai kutipan keseluruhan mencecah RM75 juta berbanding RM54 juta pada 2015.

“Ini kerana tiga filem iaitu Ola Bola, Munafik dan Boboiboy The Movie berjaya mencapai kutipan box office yang melebihi RM15 juta.

“Saya berharap agar momentum ini dapat diteruskan pada masa depan,” katanya pada sidang media.

Atas dasar itu, katanya, Finas mengambil langkah proaktif dalam gerak kerja demi membangunkan industri filem tempatan.

“Antaranya ialah menjalankan program promosi dengan pawagam seterusnya menyediakan maklumat statistik kepada penggiat filem.

“Ini juga bertujuan untuk membantu penggiat industri dalam merancang pelancaran filem terbitan mereka,” katanya.

Tambahnya, salah satu inisiatif kerajaan adalah melalui Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) yang dikawal selia oleh Finas.

“Bertepatan dengan misi dan visi Finas, ia bertujuan untuk menggalakkan dan membantu penerbit berkarya seterusnya menerbitkan filem berkualiti buatan tempatan.

“Kerajaan tidak pernah sesekali mengetepikan industri perfileman tempatan arus perdana bahkan sentiasa serius dan mengambil berat  terhadap perkembangan industri ini,” katanya.

Jelasnya, secara keseluruhan, kerajaan melalui Finas menyalurkan peruntukkan RM6.85 juta sepanjang tahun 2016.

“Serahan pertama dilaksanakan pada Mei dengan peruntukan berjumlah RM3 juta manakala serahan kedua dengan peruntukan RM 1.7 juta pada Ogos lalu.

“Serahan ketiga ITFC dibuat pada 29 Disember lalu yang membabitkan nilai peruntukkan RM2.11 juta. Kali ini, 23 syarikat penerbitan filem tempatan terlibat dengan jumlah 33 filem.

“Pemberian ini merupakan satu galakan daripada kerajaan kepada pengeluar filem tempatan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Khusairi turut mengumumkan pelantikan Datuk Fauzi Ayob sebagai Ketua Pengarah Finas berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Sebelum ini, Fauzi yang menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Produksi dan Komunikasi) Finas menggantikan Datuk Kamil Othman, yang bersara pada 9 November lalu selepas dua tahun berkhidmat.

Katanya, pemilihan Fauzi dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Pada masa sama, Azmir Saifudin Mutalib turut dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Finas yang baharu juga berkuat kuasa pada 1 Januari lalu

Sebelum ini, Azmir Saifudin memegang jawatan sebagai Pengarah Kanan Bahagian Komersial di Finas.

“Saya harap pelantikan ini dapat memacu Finas ke arah lebih cemerlang lagi pada tahun hadapan.

“Lagipun, berdasarkan pengalaman yang ada pada mereka, saya yakin Finas dapat mencapai lebih banyak kejayaan pada tahun hadapan.

“Saya juga yakin mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik selain meneruskan usaha yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khusairi turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada bekas Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman di atas perkhidmatan cemerlang beliau selama dua tahun mengemudi Finas.

“Saya tidak nafikan, banyak perkara baru di bawa ke Finas sepanjang dua tahun pentadbirannya sekali gus merancakkan lagi perkembangan serta pembangunan industri kreatif negara,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *