Share on Facebook

OLEH : SHAHBUDIN HAJI EMBUN

Pengumuman PAKATAN Harapan (PH) bahawa Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad akan dilantik sebagai calon Perdana Menteri sekiranya gabungan pembangkang itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) dan kemudiannya akan mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri kelapan merupakan satu tindakan yang tidak meyakinkan rakyat Malaysia.

Pengumuman ini boleh diibaratkan sebagai satu wayang politik untuk mengaburi mata rakyat Malaysia yang pastinya mahukan satu ketetapan dan kestabilan dan bukannya satu perancangan yang bersifat sementara. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan yang tindakan ini merupakan pertaruhan yang boleh memerangkap pakatan pembangkang sendiri.

Bayangkan, keadaan akan menjadi tidak stabil jika perkara ini berlaku. Bukan pentadbiran serta pembangunan yang diutamakan, tetapi kedudukan siapakah yang berhak sebagai perdana menteri yang menjadi agenda utama. Pastinya juga ada beberapa pihak dari pakatan pembangkang sendiri yang tidak puas hati dengan langkah ini tetapi terpaksa mendiamkan diri kerana tidak ada pilihan lain.

Keputusan ini membayangkan juga yang pakatan pembangkang sebenarnya begitu tandus dengan para pemimpin yang berkaliber untuk menerajui negara dan terpaksa mengharapkan Dr. Mahathir untuk menjadi penyelamat.

Sebenarnya rakyat sudah mula bosan dengan sandiwara pakatan pembangkang yang ternyata tidak mempunyai harapan untuk membentuk kerajaan baru. Apatah lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini Mahathir telah membuat pelbagai serangan peribadi dan memburukkan pimpinan kerajaan .

Dari kaca mata beliau, semua yang dilakukan oleh kerajaan tidak pernah betul dan ada sahaja cacian yang dilemparkan. Bukan itu sahaja Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang juga tidak lepas dari serangan Mahathir yang nampaknya begitu selesa mengamalkan taktik politik kebencian.

Hari ini masyarakat boleh membezakan apakah kenyataan yang berbau fitnah serta kenyataan yang berdasarkan pada fakta. Dalam hal ini, apa yang pasti , Barisan Nasional tidak akan terperangkap dengan permainan pakatan pembangkang yang tidak mempunyai pilihan dengan mengamalkan dimensi politik kebencian dan menakut-nakutkan rakyat kononnya negara akan menjadi lebi teruk jika BN terus diberikan mandat pada PRU 14 nanti.

Ini adalah tindakan pakatan pembangkang yang begitu terdesak untuk melakukan apa sahaja untuk menumbangkan pemerintah yang ada sekarang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menjelaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan mengamalkan politik kebencian tetapi sebaliknya akan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat melalui pelbagai jenis bantuan serta menunaikan janji melaksanakan projek infra-rakyat.

BN telah membuktikannya dan jelaslah bahawa BN masih merupakan satu gabungan yang terbaik untuk terus mentadbir urus negara ini. Sememangnya tidak boleh dinafikan dari semasa ke semasa akan wujud beberapa cabaran dan masalah dalam BN , namun semuanya ditangani dengan penuh matang dan adil. Tindakan ini adalah berbeza dengan perjuangan pakatan pembangkang yang wujud kerana kepentingan dan agenda individu tertentu.

Nampaknya dalam hal ini, UMNO tidak keseorangan kerana PAS juga bersetuju dengan UMNO .
Jika dilihat pada beberapa kenyataan dan perkembangan yang berlaku hari ini, nampaknya PAS telah mengamalkan prinsip ‘tabbayun’ iaitu melakukan kajian dan siasatan terlebih dahulu dan kemudian setelah berbincang barulah membuat kenyataan atau keputusan terhadap sesuatu isu itu dan bukannya menghentam sebagaimana pakatan pembangkang yang lain. Ini menunjukkan yang PAS kini semakin matang dalam berpolitik dan bersama dengan BN sedar yang politik kebencian tidak boleh diamalkan di negara ini .

Mungkin ada rakyat yang akan terpedaya dengan laungan dan kata-kata yang memperlekeh dan mengutuk pemimpin hari ini. Namun hakikatnya masyarakat tahu bahawa pihak yang mengamalkan politik yang bersifat kebencian boleh diibaratkan seperti tidak ada modal untuk digunakan sebagai menambat hati para pengundi nanti.

Golongan ini sudah kehabisan idea dan modal untuk menyerang kerajaan BN. Dan sebagaimana yang dinyatakan, BN mempunyai rekod yang baik dalam pengurusan negara dan hal ini telah dibuktikan . Bahkan tidak berapa lama dahulu, firma penarafan antarabangsa , Forbes telah meletakkan Malaysia di tempat ke -25 teratas dalam senarai berdaya saing di dunia.

Apa yang pasti pendekatan politik kebencian yang dibawa oleh pakatan pembangkang sebenarnya dibenci oleh rakyat negara ini yang sentiasa mahukan keamanan, kemakmuran dan kestabilan sebagaimana yang damalkan oleh pucuk pimpinan hari ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *