IPOH, Polis berjaya menumpaskan kes penculikan seorang pelajar sekolah di Taiping membabitkan tuntutan wang tebusan RM3 juta.

Intipan dilakukan dalam tempoh lima hari dan polis juga berjaya menahan semua suspek terbabit.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan, berkata remaja lelaki itu diculik di Taiping kira-kira jam 8 malam pada 2 September lalu sebelum disembunyikan di Butterworth, Pulau Pinang.

“Bapa mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 3.30 petang keesokan harinya di Taiping memberitahu penculik menuntut wang tebusan dan mengugut untuk mencederakan atau membunuh mangsa sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi.

“Dalam tempoh berkenaan sehingga 6 September, bapa mangsa yang juga peniaga barangan terpakai berusia 43 tahun menerima 10 panggilan telefon daripada suspek.

“Atas kebijaksanaan bapa mangsa dalam membuat rundingan, wang tebusan diminta berjaya dikurangkan daripada RM3 juta kepada RM300,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Hasnan berkata, polis menubuhkan satu pasukan siasatan khas menyiasat kes itu sebelum suspek menghubungi bapa mangsa pada jam 8.30 pagi 5 September mengarahkan ke Johor Bahru untuk menyerahkan wang tebusan.

Katanya, selepas penyerahan wang tebusan dibuat, polis membuat enam serbuan di beberapa lokasi di Johor Bahru kira-kira jam 10 malam dan menahan lapan orang.

Pada masa sama, katanya, polis menyelamatkan mangsa yang berada dalam keadaan mata tertutup dan tangan terikat di tempat duduk belakang kereta Myvi di Butterworth dan menahan dua suspek yang berada di dalamnya.

Beliau berkata, polis kemudian menahan dua lagi suspek pada 6 September menjadikan keseluruhan tangkapan adalah seramai 12 orang yang berusia 17 hingga 36 tahun termasuk tiga wanita.

“Polis turut berjaya menemui wang tunai berjumlah RM175,400 di dua lokasi berasingan di Johor Bahru dan masih mengesan baki wang tebusan berkenaan yang dipercayai sudah dibahagikan sesama suspek,” katanya.

Hasnan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang membawa hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Katanya, lima suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin manakala tujuh lagi direman serta menunggu arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *