KUALA TERENGGANU, Polis hari ini mengeluarkan wajah 50 individu dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung kes yang mendatangkan kecederaan dan rogol di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu, ACP Fazlisyam Abdul Majid berkata kesemua  individu terbabit berumur lingkungan 30 hingga 50 tahun, dan kebanyakan mereka berasal dari daerah Besut.

“Daripada jumlah itu, 49 adalah lelaki dan seorang wanita. Ada juga dalam kalangan orang dikehendaki  ini merupakan adik beradik. Mereka dinasihatkan tampil menyerah diri di mana-mana balai polis berhampiran atau polis akan memburu mereka.

“Orang ramai dan ahli keluarga juga diminta tampil membantu polis memberi maklumat berkenaan orang yang dikehendaki ini bagi mempercepatkan proses siasatan kes-kes berkaitan supaya kita dapat mengambil tindakan selanjutnya,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fazlisyam berkata dua daripada 30 individu dikehendaki berkaitan kes bunuh dan samun yang dihebahkan menerusi media massa minggu lepas, telah tampil menyerah diri.

“Hasil hebahan menerusi media massa, ada juga ahli keluarga daripada individu-individu yang dikehendaki ini tampil untuk berunding dengan polis agar ahli keluarga yang terlibat dapat menyerah diri,” katanya.

Beliau berkata JSJ Terengganu dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik juga berjaya menahan 30 penjenayah yang dikehendaki menerusi 64 serbuan dalam Ops Cantas yang diadakan bermula 28 Sept lepas.

Daripada jumlah itu katanya 20 orang terlibat dalam jenayah narkotik dan 10 lagi terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah.

JSJ Terengganu juga, katanya telah membuka kertas siasatan berhubung satu kes menghina polis menerusi laman sosial Facebook susulan hebahan yang dilakukan pihak berkuasa keselamatan itu menerusi media massa bagi memburu penjenayah yang dikehendaki.

“Kita percaya pemilik akaun Facebook ini seorang lelaki. Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi kerana menghina polis yang menjalankan tugas membanteras jenayah.

“Saya pasti dalam sedikit masa lagi kita akan dapat mengesan pemilik akaun tersebut. Justeru saya menyeru kepada masyarakat berfikir dahulu sebelum membuat apa-apa komen terutama yang negatif memandangkan apa dilakukan polis adalah untuk membanteras jenayah di negeri ini,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *