Polis menahan seorang lelaki bergelar Datuk Seri dipercayai dalang utama kes penipuan menerusi satu skim pelaburan membabitkan kerugian RM3.75 juta.

Suspek berusia 39 tahun ditahan dalam serbuan ke sebuah rumah di Melaka awal pagi tadi, susulan 113 aduan diterima polis daripada mangsa penipuan syarikat pelaburan itu, baru-baru ini.

Dalam serbuan itu juga, polis merampas sebuah kenderaan mewah jenis Range Rover, dua telefon bimbit jenama iPhone 7 Plus serta pelbagai dokumen milik syarikat suspek.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata hasil siasatan mendapati syarikat ditubuhkan pada 2015 itu masih aktif menawarkan pelaburan kepada orang ramai.

“Syarikat ini mendakwa menjalankan perniagaan untuk membantu peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) menjual produk mereka melalui stokis milik syarikat.

“Untuk mendaftar, pelabur dikehendaki membayar yuran keahlian RM1,700 untuk satu set pelaburan, dijanjikan bonus antara RM800 hingga RM1,200 untuk setiap set selepas tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, selepas membuat bayaran, bonus yang dijanjikan kepada pelabur tidak dibayar menyebabkan mangsa berputih mata.

“Siasatan mendapati 70,000 hingga 80,000 orang menyertai skim pelaburan ini dengan 113 daripada mereka membuat laporan polis membabitkan nilai kerugian mencecah RM3.75 juta.

“Justeru kita nasihatkan mana-mana pihak yang terbabit dengan skim pelaburan ini tampil membuat laporan polis. Kita percaya jumlah mangsa lebih ramai,” katanya.

Suspek direman tiga hari bermula hari ini, manakala hasil rampasan diserahkan kepada JSJK Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

“Kita ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak terlalu mudah menjadi mangsa kegiatan penipuan pelaburan sebegini.

“Sekiranya ditawarkan pelaburan menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat, segera semak dengan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan kesahihannya, sekali gus mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *