KUALA LUMPUR, Lebih 15 buah kenderaan dan sebuah trak polis, memasuki perkarangan kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dekat Taman Duta di sini, malam ini.

Enam buah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan selebihnya kenderaan PROTON Preve tertera Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diiringi dua kereta peronda serta dua motosikal polis, masuk ke perkarangan kediaman Najib, kira-kira jam 10.15 malam.

Pegawai dan anggota penyiasat daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dipercayai terbabit dalam gerakan itu. Mereka dipercayai mahu mengesan bukti serta dokumen berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.

Trak polis yang terbabit turut dilihat membawa kotak-kotak yang dipercayai akan digunakan untuk mengisi dokumen dan bahan bukti yang bakal diambil dalam gerakan terbabit.

Sehingga kini, Bukit Aman belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung gerakan yang dilakukan polis terhadap kediaman Najib itu.

Terdahulu, Najib menunaikan solat terawih di Masjid Kampung Baru sebelum pulang ke kediamannya kira-kira jam 9.50 malam, kira-kira 25 minit sebelum kediamannya dikunjungi rombongan polis terbabit.

Peguam Najib, Datuk Hasnal Rezua Merican, turut dilihat memasuki kediaman bekas Perdana Menteri, di Jalan Langggak Duta bersama seorang wanita pada jam 11.05 malam, selain Setiausaha Akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Pada masa sama, puluhan anggota dan beberapa pegawai kanan Bukit Aman kelihatan di kediaman peribadi Najib di Pavilion Residence Apartment Kuala Lumpur, malam ini.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *