Pasukan Polis Marin akan mempertingkatkan kawalan dan pemantauan menjelang sambutan Aidilfitri bagi menangani kes jenayah, penyeludupan dan ancaman militan Daesh di perairan negara ini.

Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Abdullah berkata pendekatan itu diambil berikutan berlaku peningkatan kes berkenaan pada musim perayaan berdasarkan trend beberapa tahun sebelum ini.

“Kita menyedari musim perayaan adalah waktu bagi penjenayah, penyeludup mahupun nelayan asing mengambil kesempatan melakukan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

“Situasi ini serupa sahaja sama ada di laut, darat mahupun udara dan dengan ini kita akan meningkatkan kawalan perairan kita bagi mengekang sebarang ancaman terhadap keselamatan negara terutama melibatkan gerakan kumpulan Daesh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Iftar Ramadan dan Jasamu Dikenang di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga di sini Rabu malam.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengharapkan golongan nelayan supaya segera memaklumkan kepada pihak polis marin sekiranya melihat sebarang aktiviti mencurigakan di laut supaya tindakan segera dapat diambil.

Abdul Rahim berkata Markas Pasukan Polis Marin di Kuantan dilihat memainkan peranan penting dalam pelaksanaan operasi agensi itu di pantai timur kerana ia menyelia tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Ketiga-tiga negeri yang berada dalam wilayah timur ini meliputi kawalan sekitar Laut China Selatan dan difahamkan lokasi ini sering berlaku pencerobohan nelayan warga asing terutamanya Vietnam yang menangkap ikan secara haram di perairan kita.

“Justeru kita perlu siap siaga dengan melakukan pemantauan 24 jam dan meletakkan aset kita di lokasi tertentu dalam usaha mencegahnya,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama seramai 20 pelajar tahfiz dari Pusat Tahfiz Darul Ulum Beserah di sini dan tujuh pesara polis menerima sumbangan bersempena Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *