KUALA NERUS, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) meminta pemimpin negeri dan daerah menghantar permohonan bagi kemudahan ameniti sosial kepada kementerian itu selewat-lewatnya pertengahan Januari depan.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemudahan itu termasuk lampu jalan, membaiki dan mengecat pagar surau dan membaiki jalan kecil di kampung.

“Kalau boleh saya minta kepimpinan di peringkat Parlimen hantar senarai berkenaan sebab beliau yang tahu kampung mana yang perlukan kemudahan berkenaan. Semua senarai itu perlu diserah kepada kementerian menjelang pertengahan Januari dan kalau ada peruntukan boleh buat terus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Lampu Jalan Kampung (LJK) Peringkat Terengganu di Gelanggang Futsal Kampung Kesom, Teluk Pasu, di sini, tadi. Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman serta barisan kepimpinan negeri dan penduduk kampung.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam ucapannya berkata kerajaan telah memasang 317,000 unit LJK di seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM245 juta bagi tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) sehingga RMK-11.

Daripada jumlah itu, katanya 258,000 unit dipasang di Semenanjung, 31, 811 unit di Sabah dan 27, 259 unit di Sarawak.

Bagi negeri Terengganu sebanyak 4,447 unit LJK telahpun 100 peratus siap dipasang, katanya.

Berhubung bil elektrik bagi LJK yang dipasang seluruh negara, katanya kerajaan telah menanggung belanja sebanyak RM70 juta bagi membiayai bil elektrik kesemua LJK terbabit untuk tahun lepas.

Sehubungan itu, beliau berkata pemimpin tempatan terutama anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung tidak perlu risau untuk memohon LJK bagi kampung masing-masing kerana perbelanjaan bil elektrik itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *