Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sememangnya mengamalkan Strategi Lautan Biru (BOS) dalam operasinya yang terbukti memberi manfaat dari segi penjimatan kos, kata Pengerusinya Tan Sri Mohd Sidek Hassan

Beliau berkata Petronas yakin strategi itu satu idea baik kerana membabitkan usaha melakukan kerja di luar kebiasaan.

“Menerusi Pakatan Pengurangan Kos atau program CORAL misalnya, kami berjaya mengurangkan sebahagian besar kos dan mendapat pulangan baik biarpun dalam persekitaran minyak dan gas yang mencabar,” katanya kepada pemberita di luar acara pameran di Galeri Petronas di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Sidek melancarkan pameran terbaharu Galeri Petronas bertemakan ‘Semangat 10: Visual Expressions of Southeast Asian Identity’ (Semangat 10: Ekspresi Visual Identiti Asia Tenggara) yang mengetengahkan 24 artis terkemuka dari 10 negara di rantau ini.

Beliau berkata Petronas menyokong inisiatif kerajaan menerusi penyertaannya dalam Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru (ICBOS) pada Ogos tahun ini dan akan terus melaksanakan strategi dan idea berkaitan.

Mohd Sidek yang juga bekas Ketua Setiausaha Negara, sememangnya dikenali sebagai penasihat utama Strategi Lautan Biru dan berperanan penting dalam pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Malaysia.

Menerusi NBOS, lebih 80 kementerian dan agensi dari pihak polis serta tentera, wanita, belia dan organisasi pendidikan tinggi, bersedia untuk bekerjasama bagi merangka dan pelaksanaan inisiatif strategi berkenaan dalam usaha Malaysia mencapai negara maju menjelang 2020.

Selain itu, mengulas usaha Galeri Petronas, Mohd Sidek berkata: “Saya kagum kerana Petronas tidak hanya dikaitkan dengan aspek kekayaan ekonomi dan material, tetapi turut membabitkan budaya dan kesenian yang menakrifkan peradaban.”

“Meskipun cabaran dalam industri minyak dan gas global, Petronas kekal komited untuk memupuk, menggalakkan dan memelihara seni kolektif dalam ASEAN,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *