Seorang lelaki menjadi rakyat pertama negara itu yang disabitkan dengan kesalahan pornografi kanak-kanak selepas dijatuhkan hukuman penjara selama tujuh tahun, semalam.

Sadat Amin didapati bersalah oleh mahkamah Lahore atas jenayah pornografi kanak-kanak secara global yang merentasi Eropah dan Amerika Syarikat.

Pornografi kanak-kanak termasuk serangan seksual ke atas mangsa di bawah umur disenaraikan sebagai satu jenayah di bawah undang-undang Pakistan sejak Mac tahun lalu, susulan pindaan rang undang-undang di dalam Senat.

Menurut Agensi Penyiasatan Persekutuan (FIA), Sadat ditahan berdasarkan aduan dibuat Kedutaan Norway, April tahun lalu.

Pasukan penyiasat menemui 650,000 foto dan video pornografi kanak-kanak dalam simpanan lelaki berkenaan.

Dia turut didenda sebanyak 1.2 juta rupees (RM39,150) oleh mahkamah di timur Lahore itu.

Pindaan yang dibuat ke atas Kanun Keseksaan Mac tahun lalu meletakkan pemerdagangan manusia sebagai satu jenayah di Pakistan dan menaikkan had umur tanggungjawab jenayah dari tujuh kepada 10 tahun.

Menerusi pindaan itu, pesalah yang disabitkan dengan jenayah serangan seksual ke atas mangsa bawah umur kini boleh dipenjara sehingga tujuh tahun berbanding hanya menjenayahkan rogol sebelum ini. – AFP

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *