KOTA BAHARU, Perkhidmatan bas henti-henti Cityliner dijangka kembali beroperasi seperti biasa mulai esok selepas 19 laluannya dihentikan semalam.

Jurucakap Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK) Transliner, yang menguruskan pengangkutan awam itu di Kelantan, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas Konsortium Transnasional Berhad memberi jaminan menyuntik dana bagi memastikan bas Cityliner dapat beroperasi semula.

SKMK Transliner merupakan syarikat yang menguruskan bas henti-henti Cityliner di Kelantan di bawah Konsortium Transnasional Berhad.

Perkhidmatan itu dihentikan sementara sejak semalam berikutan kos operasi yang tinggi.

“Kita memang sudah berusaha supaya perkhidmatan di laluan yang dihentikan dapat kembali beroperasi seperti biasa. Paling lewatpun mungkin awal pagi esok.

“Apa yang kita kesali pemberhentian sementara perkhidmatan bas di 19 laluan itu menyukarkan orang ramai khususnya pelajar yang terpaksa mengeluarkan modal lebih besar untuk ke sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam kenyataan media semalam, Konsortium Transnasional Berhad berkata tindakan memberhentikan perkhidmatan itu diambil berikutan syarikat tidak mampu menanggung kos operasi kerana tidak lagi menerima dana daripada kerajaan.

Jurucakap itu berkata seramai 100 pemandu turut ‘direhatkan’ untuk sementara waktu sehingga operasi bas kembali pulih.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *