Share on Facebook

KOTA KINABALU, Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir pada 6 petang ini dilanjutkan hingga 18 Feb, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din.

Beliau berkata dengan pelanjutan itu, mereka yang tinggal di kawasan berkenaan diminta berada di dalam rumah dan tidak dibenarkan memasuki kawasan perairan itu antara pukul 6 petang hingga 6 pagi keesokannya sepanjang tempoh berkenaan.

Ramli berkata perintah berkurung itu meliputi kawasan perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau-pulau peranginan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya perintah berkurung berkenaan juga adalah bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan serta rakyat negeri ini yang berada di kawasan daratan ESSZone.

Ramli berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik untuk mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh bagi melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Katanya perintah berkurung itu juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran kapal anggota keselamatan di sekitar kawasan mereka.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah di Esszone untuk mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *