PASIR PUTEH, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan berjaya menahan sebanyak 21 bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara di negeri ini dari Januari hingga Jun tahun ini.

Pengarah Maritim Kelantan, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahanan itu membabitkan nilai rampasan dan denda melebihi RM60 juta.

Katanya, rondaan aset Maritim dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan perairan negara bebas daripada pencerobohan nelayan asing.

“Setakat ini, keadaan perairan di Kelantan terkawal dan selamat kerana kita sentiasa membuat pemantauan secara bersistem di samping menjadikan komuniti nelayan sebagai mata dan telinga kami.

“Kemasukan nelayan asing yang menangkap ikan menggunakan kaedah terlarang seperti pukat tunda ganding memusnahkan kawasan pembiakan ikan yang memberi kesan buruk jangka masa panjang kepada nelayan tempatan,” katanya.

Beliau berkata, isu pencerobohan perairan negara perlu diberikan perhatian memandangkan sejak 2006 sehingga sekarang sebanyak 200 bot nelayan asing sudah ditahan dan didenda.

Nelayan asing khususnya Vietnam katanya, mengambil risiko dengan melanggar peraturan negara ini kerana laut negara kaya dengan hasil berbanding negara mereka.

“Sepanjang tahun lepas, 24 tangkapan direkodkan termasuk 13 bot nelayan dari Thailand dan Vietnam yang menceroboh perairan negara dan menangkap ikan secara haram.

“Kita menjalankan pemeriksaan ke atas 1,187 bot sepanjang 2016 dengan hasil lelongan, denda dan kompaun keseluruhan berjumlah RM479,307,” katanya.

Selain penguatkuasaan katanya, Maritim Kelantan juga terlibat dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR)  dan kes berkaitan penyeludupan.

“Kita juga memandang serius kes perlanggaran zon perikanan dan melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan kaedah dilarang seperti pukat tunda ganding,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *