DUNGUN, Selepas tujuh tahun ‘merajuk’, akhirnya seekor penyu belimbing dianggarkan seberat 400 kilogram (kg) kembali ke Rantau Abang di sini sebelum ‘menghadiahkan’ 92 biji telur, pagi tadi.

Penyu terbabit dikesan mendarat sebelum bertelur di kawasan Pantai Rhu Cikgu di sempadan Rantau Abang dan Jambu Bongkok, Marang.

Seorang pemajak, Hasang Husing, 60, yang menemui telur penyu itu, berkata kejadian itu disedarinya ketika membuat rondaan di kawasan terbabit mulai jam 6 pagi.

Katanya, sebaik tiba di kawasan Pantai Rhu Cikgu kira-kira jam 6.30 pagi, beliau terkejut melihat kesan pendaratan yang sangat besar di atas pasir di situ.

“Saya berasa sangat terharu sejurus melihat kesan pendaratan penyu terbabit sebelum berusaha mencari sarangnya dan menemui 92 telur penyu belimbing serta menghubungi kakitangan Jabatan Perikanan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, meskipun tidak berpeluang melihat hidupan terbabit, namun berdasarkan kesan pendaratan itu, penyu belimbing yang mendarat dianggarkan seberat 400 kg.

“Saya percaya ini adalah ibu penyu muda dan pertama kali bertelur, berbanding ibu tua yang boleh mencapai 500 kg,” katanya yang sudah 30 tahun menjadi pemajak telur penyu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Terengganu, Zawawi Ali, berkata semua telur penyu terbabit dibawa ke Pusat Santuari Penyu Rantau Abang untuk proses pengeraman.

Beliau berkata, telur dieramkan itu diharap akan menetas sepenuhnya dan sebahagiannya akan dipulihara, manakala selebihnya akan dilepaskan ke laut.

“Kehadiran penyu ini amat menggembirakan kita semua memandangkan kali terakhir spesies itu mendarat dan bertelur di Rantau Abang pada 2010,” katanya.

Zawawi berkata, seekor ibu penyu biasanya akan naik bertelur sehingga lima kali semusim dan dijangka kembali semula mendarat dan bertelur di Rantau Abang pada 19 dan 30 September nanti.

“Oleh itu kita akan membuat pemantauan di sekitar kawasan yang dikenal pasti menjadi tumpuan penyu naik bertelur,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *