PASIR PUTEH, Pengusaha bot laut dalam berdepan tindakan dibatalkan lesen jika didapati masih berdegil mendaratkan hasil tangkapan di negara jiran.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan berkata sejak larangan berkenaan dikuatkuasakan tahun lepas, jabatannya telah membatalkan lesen 400 pengusaha bot laut dalam kerana didapati melanggar syarat lesen termasuk mendaratkan hasil tangkapan di negara jiran.

“Kita akan pantau setiap pergerakan mereka di laut menerusi satelit dan monitor skrin di ibu pejabat dan jika didapati mereka keluar dari perairan negara, surat tunjuk sebab akan dikeluarkan dan jika gagal menjawab dengan tepat lesen akan dibatalkan,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Majlis Makan Malam Mesra Perikanan Kelantan di Tok Bali di sini, malam tadi.

Lebih 500 pengusaha bot laut dalam dan nelayan pantai menyertai majlis berkenaan yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Mohd Zin Saat.

Ismail berkata setakat ini terdapat 1,277 pengusaha bot laut dalam di seluruh negara.

Beliau berkata lebih 30 tahun industri perikanan laut dalam beroperasi dan dalam tempoh itu sepatutnya industri itu sudah berkembang maju dengan wujudnya pelbagai industri hiliran yang menyediakan banyak pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Tetapi disebabkan terdapat dalam kalangan mereka yang tidak jujur dengan mendaratkan ikan di luar negara, menyebabkan industri itu sehingga sekarang masih ditahap lama dan tidak berkembang maju.

Sepatutnya kita bukan sahaja mampu menampung bekalan ikan yang mencukupi dalam negara tetapi berupaya mengeksportnya ke luar negara,” katanya.

Beliau berkata alasan yang diberikan pengusaha terbabit kononnya dalam negara tidak mempunyai kelengkapan yang diperlukan untuk mendaratkan hasil tangkapan menyebabkan mereka terpaksa mendaratkan ikan di luar negara adalah tidak benar kerana kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka.

Beliau berkata jabatannya akan mengetatkan peraturan termasuk mewajibkan setiap pengusaha bot mengisi borang keluar masuk di pelabuhan perikanan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *