SERDANG, Pengeluaran beras negara hampir 80 peratus memadai bagi menampung tahap sara diri rakyat sehingga 2020.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata keadaan itu berdasarkan anggaran terkini yang dibuat selepas mengambil kira sebilangan rakyat yang tidak memilih beras tempatan sebagai makanan.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini kerajaan menyasarkan untuk mencapai tahap sara diri pengeluaran padi mencecah 100 peratus pada 2020, namun anggaran baharu mengikut keperluan semasa perlu dibuat.

Katanya, pengeluaran beras negara kini mencapai 72 peratus tahap sara diri, iaitu kurang lapan peratus daripada tahap 80 peratus serta boleh ditingkatkan jika beberapa langkah proaktif diambil.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada faktor lain perlu diambil kira iaitu ada kalangan rakyat lebih gemar makan beras import seperti beras wangi Siam dari Thailand, Basmathi (Pakistan) dan beras dari Jepun

“Jika petani meningkatkan kecekapan pengeluaran di jelapang seperti lonjakan lima kepada enam tan metrik sehektar, selain mengurangkan risiko kerugian selepas tuai termasuk padi yang tumpah atau pembaziran ketika dalam proses pengilangan, jumlah hasil beras dapat meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan akhir penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK2017) bersama-sama media di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Bertemakan ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita’ HPPN2017 selama empat hari bermula esok sehingga Ahad ini menyasarkan 500,000 pelawat.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *