Pengasas Kumpulan YTL, Tan Sri Yeoh Tiong Lay meninggal pada usia 88 tahun, hari ini.

Ahli keluarga mendiang dalam kenyataan berkata, mereka bersedia menerima kunjungan saudara dan rakan yang ingin memberikan penghormatan terakhir bermula jam 7 malam esok di alamat No 2 Lorong Buloh Perindu 1, Damansara Heights, Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan itu, perhimpunan ahli keluarga dan kenalan juga akan diadakan pada Khamis, Jumaat dan Sabtu pada jam 8.30 malam.

Pengebumian pula akan diadakan pada Ahad bermula jam 10 pagi dan kemudian bertolak ke Nilai Memorial Park pada jam 12 tengah hari.

Ahli keluarga mendiang turut menzahirkan dukacita di atas pemergian bilionair itu.

“Kami sangat sedih dengan kehilangan ketua keluarga kami, Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay, tetapi akur bahawa dia kembali ke pangkuan pencipta.

“Kami adalah generasi keempat yang mempunyai keistimewaan merasai kehadirannya selama 88 tahun dan dia benar-benar akan dirindui,” kata ahli keluarganya dalam kenyataan itu.

Yeoh mengasaskan YTL pada 1955 sebagai syarikat pembinaan kecil. Syarikat itu menjadi konglomerat terbesar Malaysia dengan menjalankan perniagaan merangkumi teknologi, hotel, utiliti, pembinaan dan pengurusan harta.

Menurut Forbes, Tiong Lay mempunyai harta bersih berjumlah AS$2bil (RM8.2 bilion) menjadikannya ketujuh terkaya di Malaysia.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *